AM

KKM Tumpu Atasi Isu Tenaga Kerja Di Hospital Pasir Gudang

26/08/2025 09:00 PM

MUAR, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menumpukan kepada usaha menambah tenaga kerja kesihatan di Hospital Pasir Gudang, Johor Bahru bagi memastikan fasiliti itu dapat beroperasi secara berkesan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata cabaran utama bagi mana-mana hospital baharu bukan sekadar penyiapan bangunan dan peralatan, sebaliknya pengisian sumber manusia yang mencukupi termasuk pegawai perubatan, pakar, jururawat dan pegawai perawatan kesihatan lain.

“Masalah tenaga kerja ini adalah isu nasional yang sedang kita (KKM) tangani secara menyeluruh. KKM telah merangka langkah berfasa untuk mengatasi kekurangan ini, termasuk penempatan segera bagi mengisi Hospital Pasir Gudang.

“Kita beri tumpuan khusus di Johor kerana kita mahu hospital ini dapat berfungsi pada kapasiti optimum secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini hari ini.

Dzulkefly berkata Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan perhatian mengenai aspek sumber manusia semasa beliau dan pengurusan tertinggi KKM menghadap baginda hari ini. 

“Tuanku bertanyakan secara khusus mengenai keupayaan tenaga kerja dan kami telah memberi penjelasan tentang perancangan pengisian. Tuanku mahu agar usaha ini dipercepat,” katanya.

Beliau berkata Hospital Pasir Gudang telah memulakan operasi awal pada kadar kira-kira 20 peratus melibatkan Jabatan Kecemasan, manakala pengisian tenaga kerja dan fasiliti lain sedang dilaksanakan secara berperingkat.

Dzulkefly berkata seperti diumumkan sebelum ini, hospital berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan.

Hospital Pasir Gudang bernilai RM380 juta yang dilengkapi 304 katil merupakan antara projek kesihatan utama di Johor dan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya dalam meningkatkan akses kepada rawatan kesihatan berkualiti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan