AM

PM Anwar Umum Tambahan RM100 Juta Untuk Bantuan Gaza

24/08/2025 11:55 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan tambahan RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza yang sedang menghadapi krisis kemanusiaan.

Berucap pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan komitmen berterusan negara ini dalam membela nasib rakyat Palestin.

"Bagi pihak kerajaan MADANI kita telah luluskan dua tahun yang lalu RM100 juta. Malam ini saya isytihar, kerajaan Malaysia akan beri dana RM100 juta lagi untuk membantu rakyat Palestin," katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana: Malaysiaku Bersama Gaza di hadapan ribuan hadirin yang hadir.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Hadir sama Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah menghantar pelbagai bantuan kepada rakyat Palestin dan membawa mereka ke Malaysia untuk menerima rawatan.


“Apa lagi yang belum kita lakukan, kita telah bawa yang uzur, yang sakit dengan dua pesawat, kebanyakan yang sudah dirawat sudah pulang (ke Palestin). Anak-anak yang tinggal di sini, kita bagi dia peluang pelajaran, kemudahan dan bantuan,” katanya.

Perdana Menteri turut menggesa lebih banyak syarikat besar dan korporat menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin selain belajar daripada nikmat keamanan serta kebebasan yang dikecapi untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Saya akan minta rakan-rakan untuk terus prihatin kepada rakyat Palestin, mereka sebelum ini telah membantu dengan beri pelbagai bantuan namun Zionis telah hancurkan segalanya (bantuan sebelum ini)” katanya.

Acara malam ini menandakan kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung sejak Jumaat lepas anjuran bersama MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia dengan dinaungi Perdana Menteri selaku Penaung Sumud Nusantara.

Majlis malam ini turut diisi dengan solat hajat untuk pembebasan Gaza, tausiah peduli ummah oleh tokoh pendakwah ternama, bacaan Qunut Nazilah serta persembahan selawat oleh kumpulan qasidah Majelis AzZahir pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.

Terdahulu, pengisytiharan Deklarasi Sumud Nusantara dibacakan oleh Sani Araby yang menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan kebebasan Palestin.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melepaskan Konvoi Sumud Nusantara 2025 untuk Flotilla Gaza yang menghimpunkan delegasi dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan