AM

Cadangan Bina Pos ATM Baharu Di Pulau Sebatik Tawau Masih Diteliti

24/08/2025 05:06 PM

TAWAU, 24 Ogos (Bernama) -- Pembinaan pos baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pulau Sebatik di sini akan dilaksanakan selepas penelitian terhadap beberapa perkara selesai, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata ketika ini isu keselamatan di sempadan kawasan itu dapat ditangani dengan baik.

"Kita bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara dengan pemantauan oleh Eastern Sabah Security Command (bagi pembinaan pos baharu).

"Lawatan kerja ke Pulau Sebatik pada hari ini juga memberikan peluang untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai cadangan pos baharu ATM di Pulau Sebatik," kata beliau dalam kenyataan selepas melawat pulau itu di sini hari ini.

 Beliau berkata keupayaan pertahanan di Pulau Sebatik, bahkan di seluruh Sabah sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mengekalkan jaminan keamanan negara.

Sementara itu, Adly berkata pihaknya melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM bersedia memberi bantuan dan kerjasama kepada Kementerian Pendidikan Malaysia jika memerlukan kepakaran berkaitan termasuk memenuhi keperluan warden asrama.

"Veteran ATM kita memang terlatih untuk pelbagai bidang di lapangan, kita juga sedia adakan kerjasama dengan KPM melalui program pengukuhan kerjasama awam tentera (CIMIC) serta pelbagai lagi program  pendidikan yang lain," katanya. 

Hari ini, Adly mengadakan lawatan kerja ke Pulau Sebatik bagi meninjau pos kawalan keselamatan, termasuk bertemu tujuh veteran ATM di Kampung Sungai Tongkang menerusi Program Peduli Veteran MADANI ATM (PVM).

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan