AM

Amalan Buli Berisiko Lahir Generasi Hilang Nilai Hormat, Kasih Sayang

24/08/2025 01:03 PM

MELAKA, 24 Ogos (Bernama) — Amalan buli berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan, kata Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata perbuatan buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.

“Apakah perbuatan buli dan menganiaya orang lain sesuatu yang boleh dibiarkan tanpa tindakan tuntas oleh kita semua?” katanya ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Bagi melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, beliau mencadangkan agar dimasukkan satu program antibuli berasaskan pendidikan serta pertandingan bertajuk “Kesopanan dan Kesusilaan” sebagaimana termaktub dalam prinsip kelima Rukun Negara.

Ali berkata pertandingan itu perlu bermula daripada sekolah rendah hingga peringkat institusi pengajian tinggi, pusat latihan sama ada awam atau swasta bagi menyemai nilai akhlak yang mulia.

“Sebagai rakyat Malaysia, sesungguhnya prinsip Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian oleh setiap lapisan masyarakat.

“Kita perlu renungkan setiap kali kita ingin melakukan sesuatu, kita perlu bertanya apakah ia sopan dan bertatasusila? Kini ramai rakyat Malaysia dan dunia yang jiwanya kosong.

“Semoga Allah S.W.T merahmati hidup kita di dunia yang sementara ini dengan amal makruf nahi mungkar. Amalkan perkara yang baik dan menolak perkara tidak baik,” katanya.

Beliau berkata insitusi kekeluargaan juga memainkan peranan penting dalam menyemai prinsip kesopanan dan kesusilaan bermula daripada kanak-kanak lagi.

Ali berkata ia seiring dengan tuntutan dan didikan agama Islam serta ajaran Rasulullah S.A.W agar mengamalkan nilai hidup dan akhlak yang baik serta saling menyayangi serta dan menghormati sesama insan, malah setiap agama lain turut mengajar perkara sama.

“Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga adik Zara Qairina Mahathir yang telah kembali ke rahmatullah pada 17 Julai lepas yang dikaitkan dengan insiden buli di asrama Sekolah Menengah Agama Tun Datuk Mustafa Limauan, Sabah.

“Saya juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menitahkan agar kerajaan perlu melaksanakan kempen anti buli secara menyeluruh bagi membendung gejala buli ini sejak di peringkat sekolah rendah lagi,” katanya.

— BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan