ISKANDAR PUTERI, 22 Ogos (Bernama) -- Sireh Park, taman rekreasi komuniti hijau terbesar di Malaysia, terus diperkasa dengan pelbagai inisiatif kelestarian termasuk kerja naik taraf infrastruktur serta usaha pemuliharaan alam sekitar.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata selaras dengan Visi Hijau Johor 2030 dan Johor Maju 2030, taman berkeluasan 139 hektar di Iskandar Puteri itu berfungsi untuk menyerap karbon, mengurangkan haba bandar, meningkatkan kualiti udara dan memastikan keseimbangan ekosistem.
Beliau berkata UEM Group Berhad (UEM Group) selaku penaja penanaman 100 pokok baharu dan menaik taraf jambatan Eco Link di taman tersebut telah banyak membantu meningkatkan kesejahteraan hidup Bangsa Johor.
"UEM sekali lagi membuktikan pada hari ini bahawa pembangunan bukan sahaja melibatkan pelaburan dan pembinaan, tetapi juga kualiti hidup dan kelestarian.
"Dalam usaha menaik taraf ini, kita juga bercadang untuk membuat 'petting zoo' di sini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sireh Park Eco Link di Sireh Park Nusa Idaman, Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Sireh Park yang diuruskan oleh Nusajaya Natural Heritage Trust berperanan sebagai pusat rekreasi, pelancongan dan pemuliharaan ekologi.
Jambatan Eco Link yang sebelum ini dikenali sebagai Hill Bridge, pada asalnya dibina untuk kegunaan sementara ketika Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang tidak dapat dianjurkan akibat penularan wabak pandemik COVID-19.
Kerja pembinaan semula bermula tahun lepas menggunakan bahan mesra alam telah selesai pada awal 2025 dan ia bukan sahaja mengembalikan daya tahan jambatan tersebut malah mengekalkan keindahan landskap taman dan keseimbangan ekologi.
Selain itu, menerusi program Penanaman Pokok, lebih 10,000 pokok telah ditanam dalam tempoh kurang daripada sedekad serta menyasarkan penanaman kira-kira 25,000 pokok menjelang 2028.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial