KUALA TERENGGANU, 21 Ogos (Bernama) -- Hanya rasa syukur dapat diucapkan pasangan warga emas, Jaafar Mamat, 78, dan isteri, Meriam Mamat, 68, setelah menerima rumah baharu di bawah Projek Rumah Kasih Ihsan Kategori Bina Rumah Baharu di Kampung Nibung di sini.
Jaafar yang bekerja sebagai tukang gunting rambut berkata setelah lebih 12 tahun menunggu, penantian mereka sekeluarga untuk hidup dalam keadaan lebih selesa akhirnya tercapai.
Warga emas itu berkata sebelum memperoleh rumah baharu, dia bersama enam ahli keluarga termasuk anak, menantu dan tiga cucu tinggal di rumah usang yang hampir roboh.
"Saya sudah membuat permohonan untuk membaik pulih rumah pusaka dengan pelbagai agensi kerajaan sejak 2012 namun tidak mendapat sebarang maklum balas.
"Pada mulanya saya hanya memohon untuk membaik pulih rumah pusaka tetapi pegawai daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) memaklumkan kita layak mendapat rumah baharu," katanya pada Majlis Penyerahan Projek Rumah Kasih Ihsan Kategori Bina Rumah Baharu di Kampung Nibung di sini hari ini.
Majlis penyampaian replika kunci disempurnakan oleh Pengarah JPP Terengganu Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.
Sementara itu, Abdul Kahar berkata 712 projek rumah Kasih Ihsan diluluskan membabitkan peruntukan keseluruhan RM19.8 juta sejak 2023 di Terengganu.
Beliau berkata setakat ini, 144 kediaman sudah disiapkan manakala 74 lagi sedang dalam pembinaan.
"Kediaman dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air. Kediaman baharu ini diharap dapat memberi keselesaan kepada lebih ramai rakyat yang kurang mampu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial