AM

Fahmi Ucap Takziah Kepada Keluarga Penerbit Rancangan RTM Azizi Harun

21/08/2025 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Penerbit Rancangan di Unit Antarabangsa, Bahagian Hal Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM) Azizi Harun yang meninggal dunia petang tadi.

Fahmi berkata beliau turut berduka menerima khabar pemergian Azizi yang disifatkan sebagai seorang yang cukup berdedikasi dalam menjalankan tugasnya.

“Takziah buat seluruh keluarga dan sahabat handai Allahyarham. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosanya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Ucapan sama turut dizahirkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang menyifatkan pemergian Azizi sebagai satu kehilangan besar kepada dunia penyiaran negara.

“Saya secara peribadi mengenali Allahyarham ketika berada di Tanah Suci sewaktu mengerjakan ibadah haji tahun lalu di mana Allahyarham bertugas sebagai petugas haji media.

“Sepanjang pertemuan tersebut, saya melihat sendiri keperibadian Allahyarham yang ikhlas, dedikasi beliau dalam menyampaikan maklumat serta sikap mesra yang disenangi ramai,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan kesabaran, ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat ini.

Difahamkan Azizi, 55, menghembuskan nafas terakhir pada 7.57 malam di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas rebah ketika bermain bola tampar di Kompleks Sukan, Angkasapuri Kota Media.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, dua anak lelaki dan dua anak perempuan berusia 10 hingga 30 tahun.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan