AM

Kronologi Kes Kematian Zara Qairina

20/08/2025 07:23 PM

KOTA KINABALU, 20 Ogos (Bernama) -- Lima remaja perempuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap seorang pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir, bulan lepas.

Kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, pada prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu pada 8 hingga 12 Dis, dan 15 hingga 19 Dis manakala 25 Sept dan 16 Okt ditetapkan untuk sebutan semula serta pengurusan kes praperbicaraan.

Berikut kronologi melibatkan kes kematian pelajar Zara Qairina, 13, dikemas kini antara 16 Julai hingga hari ini (20 Ogos):

 

16 Julai

  • Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah di Papar kira-kira 3 pagi dipercayai terjatuh dari tingkat 3 asrama itu, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) I untuk rawatan.

17 Julai

  • Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 1.07 tengah hari di HQE I, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Siptang.

18 Julai

  • Ketua Polis Daerah Papar Supt Kamaruddin Ambo Sakka berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan lanjut terhadap kes itu, dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengganggu proses siasatan PDRM dan menghormati keluarga mangsa.
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberitahu Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung kejadian melibatkan Zara Qairina.

28 Julai

  • Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dilaporkan berkata PDRM sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes itu secara telus, selain meminta orang ramai bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu hasil siasatan lanjut.

31 Julai

  • Jauteh dilaporkan berkata PDRM merakam keterangan kira-kira 60 saksi terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah berhubung siasatan kes itu, dan siasatan telah dibawa ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan juga penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

2 Ogos

  • Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan PDRM telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
  • Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kertas siasatan kes itu akan diserah kepada AGC untuk tindakan lanjut.

3 Ogos

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan kes itu perlu dilakukan secara telus dan mendalam, selain memberi jaminan sesiapa sahaja yang terlibat dengan kes itu tidak akan diberi sebarang perlindungan.
  • Fadhlina berkata KPM komited memastikan proses siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus dalam kes ini demi keadilan kepada semua pihak terlibat, selain memberi jaminan siasatan kes ini akan dipercepat dan tidak ada sebarang kelewatan daripada pihak KPM.

4 Ogos

  • AGC sedang meneliti laporan penuh siasatan awal diterima daripada PDRM berhubung kes itu, dan laporan berkenaan diterima masing-masing pada 3 Ogos di Cawangan Sabah, dan 4 Ogos di Ibu Pejabat AGC di Putrajaya.

5 Ogos

  • Saifuddin Nasution menyeru semua pihak supaya menghormati proses undang-undang berhubung kematian pelajar itu dan kementeriannya tidak mahu terlibat dalam polemik kes, sebaliknya menyerahkan pihak berkuasa menyelesaikan siasatan mengikut prosedur.

6 Ogos

  • AGC telah memulangkan semula laporan penuh siasatan awal kes itu kepada PDRM untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut, dan menurut Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar laporan itu diserahkan semula 5 Ogos berserta arahan beberapa perkara untuk dibuat penelitian.
  • Mohd Khalid memberitahu PDRM telah mengesan penularan maklumat dan gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes itu oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial, dan maklumat dikongsi itu tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam selain boleh menjejaskan perjalanan siasatan.

7 Ogos 

  • Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menggesa orang ramai agar menghormati siasatan pihak berkuasa berhubung kes itu, serta memberitahu AGC dan Mohd Khalid telah mengeluarkan peringatan susulan penyebaran meluas pelbagai kandungan tidak sahih berkaitan kes berkenaan di media sosial.

8 Ogos

  • AGC memberitahu laporan penuh siasatan awal dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan menggali semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah.

9 Ogos

  • Pasukan forensik PDRM tiba di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi pada 4.56 petang bagi menjalankan proses gali semula jenazah Zara Qairina. 
  • Proses gali semula selesai pada 7.15 malam ini, sebelum dibawa ke HQE I kira-kira 130 kilometer dan tiba 10.30 malam untuk membolehkan proses bedah siasat dijalankan.

10 Ogos

  • Orang awam termasuk petugas media berkumpul di pekarangan HQE I seawal 8 pagi ini, bagi mengikuti perkembangan proses bedah siasat jenazah Zara Qairina.
  • Proses bedah siasat jenazah Zara Qairina di HQE I selesai pada 7.30 malam dan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi pada 1.15 pagi, 11 Ogos.
  • Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meminta orang ramai memberi ruang sepenuhnya kepada proses siasatan dan undang-undang dalam kes itu.

11 Ogos

  • Sepasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota telah dihantar ke Sabah untuk mengambil alih siasatan kes itu.
  • Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian remaja itu.

13 Ogos

  • AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina, dan keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh PDRM.
  • Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata siasatan kes kematian remaja itu yang sebelum ini diklasifikasi sebagai kematian mengejut kini akan menjurus kepada elemen jenayah termasuk kesalahan buli.

 

16 Ogos

  • Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata JIPS membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintenden (ASP), dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor disyaki melakukan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes itu.

17 Ogos

  • Kumar memaklumkan PDRM telah merakam percakapan 195 saksi antaranya pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan serta ibu bapa, dan JSJ Bukit Aman akan merujuk semula kertas siasatan kes itu ke AGC.

18 Ogos

  • Mahkamah Koroner di sini menetapkan 3 Sept ini untuk memulakan prosiding siasatan kematian Zara Qairina.
  • Mohd Dusuki mengesahkan lima remaja bawah umur akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada 20 Ogos berhubung kes buli pelajar itu.

19 Ogos

  • AGC menegaskan pendakwaan lima remaja bawah umur dibuat di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana pertuduhan itu merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.

    -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan