AM

Jawatankuasa Parlimen Akan Bentang Penyata Isu Buli Sekolah Khamis Depan

20/08/2025 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen akan membentangkan satu penyata berhubung isu buli di sekolah Khamis depan susulan sesi taklimat bersama kementerian serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berlangsung hari ini.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan Yeo Bee Yin berkata penyata itu akan merumuskan syor dan pandangan yang diperoleh daripada pendengaran melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri serta pelbagai NGO dan aktivis.

"Daripada taklimat hari ini, antara syor paling penting yang dimahukan semua NGO dan aktivitis ialah penubuhan sebuah portal aduan buli yang mesra kanak-kanak di peringkat kebangsaan.

“Sekarang, sistem aduan sedia ada seperti Talian Kasih atau platform dalam talian tidak cukup mesra kanak-kanak, khususnya dari segi komunikasi secara langsung atau fungsi 'chat'. Jadi, kita akan push supaya ada satu sistem aduan yang lebih sesuai untuk kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program taklimat khas Menangani Buli Di Sekolah bersama Ahli-Ahli Parlimen di Bangunan Parlimen hari ini.

Yeo juga berkata jawatankuasa itu menyambut baik usaha kerajaan untuk meneliti keperluan menggubal Akta Anti-Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau berkata ia perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya dari sudut disiplin.

"Kita tahu mangsa buli berpotensi menjadi pembuli pada masa depan jika tidak diberikan sokongan emosi yang sewajarnya… jadi, akta itu perlu mengimbangi aspek disiplin (penguatkuasaan) dan juga memberi bantuan emosi,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Dr Farah Nini Dusuki pula berkata pelantikan warden asrama seharusnya tidak dibuat dalam kalangan guru demi memastikan keberkesanan pengurusan pelajar dan kelangsungan sesi pengajaran.

Beliau berkata guru memikul pelbagai tanggungjawab di sekolah dan penambahan peranan sebagai warden boleh memberi tekanan yang besar terhadap kualiti tugas mereka khususnya apabila perlu meninggalkan kelas bagi menyelesaikan konflik dalam kalangan pelajar.

“Bila mereka terpaksa keluar dari kelas untuk selesaikan isu, itu akan menjejaskan proses pengajaran. Jadi, seboleh-bolehnya jangan libatkan pelantikan warden dalam kalangan guru tetapi cuba cari dari luar.

“Kalau hendak adakan, sistem yang ada sekarang kena memberi kelonggaran yang khusus kepada warden tersebut... maksudnya kalau dia seorang warden, beban tugasnya perlu diringankan selain menaikkan elaun supaya wujud rasa tanggungjawab terhadap peranan yang dipikul,” katanya.

Beliau juga berpendapat dalam melantik warden sekolah, aspek paling kritikal yang perlu diberi perhatian ialah proses saringan latar belakang dan ujian psikometrik bagi memastikan mereka sesuai bekerja dengan kanak-kanak.

“Tidak kira sama ada anda menjaga kanak-kanak atau berurusan dengan mereka, anda perlu menjalani saringan dengan kesesuaian bekerja dengan kanak-kanak… kita tak mahu orang yang bekerja dengan kanak-kanak itu adalah orang yang pernah ada rekod salah laku dengan kanak-kanak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan