KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Keupayaan menghasilkan bekalan air dan tenaga mencukupi merupakan antara tarikan utama kemasukan pelabur dalam bidang semikonduktur, pusat data serta kecerdasan buatan (AI) ke Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia ditambah lagi dengan kemampuan negara menyediakan kepakaran tenaga kerja profesional, yang merupakan keperluan strategik utama yang menjadi tumpuan pelabur.
“Dua perkara ini (air dan tenaga) amat strategik dan saya nak tekankan bahawa kita tak akan dapat pertahankan kredibiliti Malaysia sebagai negara aman dan cekap, kalau hal-hal terkait air dan tenaga ini kita tak dapat selesaikan.
“Bukan sahaja (penting) sediakan (kemudahan air dan elektrik kepada pelabur), malah (bagaimana) kita kawal (harga) air serta tenaga itu pada harga munasabah dan tidak bebankan rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Langat Dua (LRA2) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengurusan air di Malaysia masih lagi berhadapan masalah pembaziran terutamanya berkait Air Tidak Terhasil (NRW), cara penggunaan serta kelemahan sistem saluran lama sehingga NRW jadi masalah besar.
Beliau berkata Fadillah selaku menteri yang bertanggungjawab, telah berbelas kali bangkitkan soal berkenaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan hasil perbincangan bersama, isu itu akan menjadi antara keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri berkata dari aspek pengurusan air, menjamin keselesaan dan memenuhi keperluan rakyat menjadi kepentingan utama kerajaan.
“Bagaimana satu negara dengan airnya melimpah, banjirnya dua, tiga kali setahun, tapi ada masa tak cukup air, maknanya ada yang tidak kena bukan kerana kurnia Allah SWT tapi kerana kekurangan kepintaran manusia.
“Contohi macam Jordan yang hujan lebatnya mungkin dua kali, tiga kali setahun, tapi boleh menyimpan air untuk keperluan (sewaktu kekurangan air), jadi sebab itu, teknologi kita ini, bukan saja dari segi kecanggihan, tetapi memastikan penjimatan air itu berjalan,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial