KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan penggunaan ABRYSVO® (MAL25036136A2), vaksin bivalen pertama di Malaysia untuk kegunaan ibu hamil bagi melindungi bayi sejak lahir sehingga enam bulan serta warga emas daripada risiko penyakit saluran pernafasan bawah disebabkan Virus Respiratori Sinsitial (RSV).
Pfizer Malaysia dalam kenyataan memaklumkan kelulusan itu merupakan suatu kemajuan penting berhubung usaha pencegahan dalam kesihatan awam bagi kediaman pelbagai generasi.
“RSV ialah virus bermusim yang sangat mudah berjangkit dan menyerang paru-paru serta saluran pernafasan. Walaupun sering disalah anggap sebagai selesema biasa, RSV boleh menyebabkan penyakit serius dalam kalangan bayi baru lahir, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit sedia ada.
“Setiap tahun, RSV menyumbang kepada sejumlah besar kemasukan bayi dan warga emas ke hospital. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, lebih 500,000 orang dewasa di Malaysia hidup dengan empat penyakit kronik, sekali gus meletakkan mereka pada risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi serius berkaitan RSV,” menurut kenyataan itu.
Menurut Pfizer Malaysia, keberkesanan vaksin yang merujuk kepada perlindungan terhadap penyakit saluran pernafasan bawah yang disebabkan oleh RSV serius dalam kalangan bayi baru lahir dan bayi yang memerlukan rawatan perubatan adalah sebanyak 81.8 peratus dalam tempoh 90 hari kelahiran dan 69.4 peratus dalam tempoh 180 hari kelahiran.
Bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas, vaksin itu mencatatkan keberkesanan sebanyak 88.9 peratus dalam mencegah episod pertama jangkitan saluran pernafasan bawah disebabkan RSV, dengan disertai tiga atau lebih gejala pada akhir musim pertama.
Menurut Pfizer, ABRYSVO diberikan semasa kehamilan (antara minggu ke-24 hingga ke-36 tempoh gestasi) bagi membantu melindungi bayi daripada penyakit saluran pernafasan bawah yang disebabkan RSV dalam tempoh enam bulan pertama, iaitu ketika sistem imun paling lemah.
Kenyataan itu memaklumkan di peringkat global, RSV merupakan antara punca utama kemasukan ke hospital bagi bayi berusia bawah enam bulan, dengan lebih 6.6 juta jangkitan saluran pernafasan bawah berkaitan RSV direkodkan dalam kumpulan umur itu.
“Imunisasi untuk ibu hamil menawarkan kaedah yang ringkas dan disokong oleh bukti bagi membantu mengurangkan risiko ini,” menurut kenyataan itu.
Pfizer turut memaklumkan bahawa warga emas berdepan risiko lebih tinggi terhadap kesan serius akibat RSV disebabkan oleh kemerosotan sistem imun mereka yang berpunca daripada usia dan penyakit kronik seperti asma, diabetes dan penyakit jantung.
Menurut kenyataan itu, pada tahun 2019, RSV menyebabkan lebih 273,000 kemasukan ke hospital dan hampir 20,000 kematian dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas di Eropah.
“Kajian terbaharu dari Singapura mendedahkan satu daripada 10 orang dewasa yang dimasukkan ke hospital akibat RSV mengalami kejadian kardiovaskular akut secara serentak dengan kebarangkalian kejadian kardiovaskular yang jauh lebih tinggi dalam kalangan pesakit RSV jika dibandingkan dengan kemasukan ke hospital akibat COVID-19.
“Selain itu, kemasukan ke hospital akibat RSV juga didapati lebih serius berbanding influenza, dengan risiko kematian dalam tempoh 28 hari dan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi yang lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Kluster Pfizer bagi Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina Deborah Seifert dalam kenyataan sama berkata ABRYSVO melambangkan permulaan baharu dalam bidang kesihatan awam, yang boleh melindungi golongan termuda dan tertua dalam komuniti secara proaktif melalui satu vaksin.
“Kami menghargai keputusan NPRA yang berlandaskan sains dan berbangga dapat menyokong akses yang lebih meluas kepada langkah pencegahan yang penting ini.
“Kami berharap detik penting ini akan mendorong rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumat tentang langkah pencegahan dan mengambil tindakan awal,” katanya.
Vaksin ABRYSVO boleh didapati di hospital dan klinik seluruh negara dalam masa terdekat dan orang ramai khususnya golongan berisiko digalakkan untuk berbincang dengan profesional kesihatan bagi menilai kelayakan serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai pencegahan RSV.
-- BERNAMA
(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial