AM

Pangkalan Marin JBPM Pulau Pinang Diangkat Sebagai Pusat Kecemerlangan MKAA

18/08/2025 04:00 PM

BUTTERWORTH, 18 Ogos (Bernama) -- Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang di Mak Mandin, di sini diangkat sebagai Pusat Kecemerlangan Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) bagi meningkatkan kapasiti dan peranan dalam mengendalikan operasi penyelamatan di air.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata penaiktarafan itu membolehkan pasukannya bertindak balas lebih pantas sekiranya berlaku kes kecemasan khususnya melibatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan negeri ini.

“Hal ini bermakna selepas ini, semua aktiviti air untuk Pulau Pinang akan dipusatkan di MKAA, lokasinya yang berdekatan dengan kawasan perairan juga memudahkan mobilisasi aset penyelamatan. 

“Pasukan boleh memberikan respons dengan cepat sekiranya berlaku kecemasan kerana fasiliti dan aset penyelamatan kini ditempatkan terus di jeti, jadi kita tidak perlu ambil masa bawa bot dari balai untuk digerakkan ke lokasi kejadian seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pusat MKAA di Pangkalan Marin Mak Mandin di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini sebuah bot dolphin dan tiga bot aluminium ditempatkan di pusat itu dengan kekuatan 39 anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dan BBP Bagan Jermal yang sentiasa bersiap siaga digerakkan ke lokasi insiden.

Ahmad Izram berkata dua anggota turut ditugaskan di lokasi terbabit bagi setiap syif 12 jam, yang bertanggungjawab memastikan kelancaran operasi serta keselamatan aset.

Berdasarkan statistik sejak 1 Jan hingga Ogos, katanya 196 kes kematian akibat lemas direkodkan di seluruh negara dan tujuh daripadanya berlaku di Pulau Pinang yang melibatkan lima kes lemas di pantai serta dua di tali air.

Beliau berkata daripada 196 kes itu, 175 melibatkan mangsa lelaki manakala 21 wanita dengan kebanyakan kes melibatkan mangsa berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Selain menjadi pusat utama pengoperasian, beliau berkata MKAA turut berperanan sebagai lokasi bagi pelaksanaan aktiviti kesedaran masyarakat, pusat maklumat dan rujukan dan latihan di samping membuka ruang kerjasama strategik bersama agensi luar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat menyumbang kepada pembangunan keselamatan aktiviti air.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan