KOTA KINABALU, 17 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sabah memperuntukkan hampir RM600,000 bagi membantu pekerja gig dalam sektor e-hailing membuka akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sebanyak 11,109 permohonan diterima daripada pekerja e-hailing untuk membuat caruman berkenaan.
“Ini bagi membantu mereka (pekerja e-hailing) yang masih belum membuka akaun KWSP,” katanya berucap merasmikan Program Sabah Moto Day 8.0 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Hajiji turut meluahkan kegembiraan melihat program Sabah Moto Day tahun ini menarik kehadiran kira-kira 60,000 penunggang motosikal dan peminat permotoran dari seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei.
Beliau berkata kehadiran banyak penunggang serta pengunjung membuktikan aktiviti permotoran masih dekat di hati golongan belia dan masyarakat umum.
“Saya kagum melihat sokongan yang ditunjukkan oleh semua peserta, tanpa mengira usia, bangsa dan agama, yang berkumpul demi minat sama. Kita harus melihat himpunan ini dari sudut positif kerana ia boleh menyumbang kepada penjanaan ekonomi negeri kita,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan Program Anak Muda di Putatan, Hajiji berkata kerajaan negeri melaksanakan banyak inisiatif untuk belia termasuk pemberian geran, latihan serta program inovasi dan keusahawanan bagi memastikan anak muda Sabah mempunyai platform untuk berkembang.
Beliau berkata Geran Program Anak Muda berjumlah RM300,000 akan diagihkan kepada NGO belia di kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat dalam Parlimen Putatan.
“Geran ini bukti komitmen kita untuk menyokong idea dan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Gunakanlah geran ini sebaik mungkin untuk melaksanakan program yang membawa manfaat kepada belia di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri membelanjakan RM1.33 bilion, termasuk RM848.26 juta bagi bantuan pendidikan dan RM485 juta khusus untuk program pembangunan bakat serta kemahiran dari 2021 hingga kini.
“Perkara ini tidak pernah dilakukan oleh kerajaan negeri terdahulu. Kita komited membangunkan golongan belia yang juga pemimpin masa depan kita,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial