SHAH ALAM, 16 Ogos (Bernama) -- Empat individu termasuk seorang warga emas berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Taman Sentosa, Klang, pagi tadi, sebelum berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kebakaran di tingkat satu bangunan tiga tingkat itu menyebabkan mangsa, berusia 17 hingga 81 tahun, terperangkap akibat asap tebal yang menutupi laluan tangga.
“Kebakaran berkeluasan 20 x 30 kaki persegi di tingkat satu memusnahkan 50 peratus ruang berkenaan. Kesemua mangsa, seorang lelaki, dua wanita dan seorang remaja perempuan berada di tingkat tiga dan berjaya dibawa turun dengan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada 6.16 pagi dengan kekuatan 14 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas, BBP Klang Selatan dan BBP Klang Utara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial