EKONOMI

Pertumbuhan Kukuh KDNK Suku Kedua 2025 Petunjuk Daya Tahan Domestik, Momentum Separuh Kedua Berterusan

15/08/2025 08:02 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin dan Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Ekonomi Malaysia terus kekal berdaya tahan walaupun dalam keadaan dasar perdagangan global yang semakin tidak menentu, kata ahli ekonomi.

Ahli ekonomi berkata demikian selepas Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 4.4 peratus pada suku kedua tahun ini sekali gus menekankan bahawa ekonomi kekal kukuh.

 Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta pelaburan infrastruktur dan jangkaan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dijangka menyokong pengembangan ekonomi domestik yang berterusan.

Katanya Malaysia berasa sedikit lega apabila pendirian dasar perdagangan AS lebih longgar berbanding tekanan yang dialami pada suku kedua.

Angka terkini itu bukan sahaja menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia, malah mencerminkan pertumbuhan KDNK bagi suku ketiga dan keempat tahun ini berupaya dikekalkan.

“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan tahun tahun ke tahun kami kira-kira 4.5 peratus bagi kedua-dua suku, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan momentum pelaburan yang berterusan.

“Unjuran KDNK untuk keseluruhan tahun juga dianggarkan pada 4.5 peratus,” katanya kepada Bernama sambil memaklumkan pemangkin pertumbuhan disumbangkan oleh faktor dalaman dan luaran.

Dari segi domestik, katanya pelaksanaan RMK13 dijangka mempercepat reformasi struktur dan pelaburan infrastruktur.

Sementara itu, bagi faktor luaran, Mohd Sedek berkata terdapat jangkaan bahawa Fed menurunkan kadar faedah sekurang-kurangnya 50 mata asas (bps), yang boleh meningkatkan aliran masuk modal, menambah baik mudah tunai dan menyokong nilai ringgit.

Awal bulan ini, AS mengenakan tarif yang dikurangkan kepada 19 peratus terhadap import Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos 2025. Tarif timbal balik yang disemak semula itu lebih rendah berbanding kadar asal sebanyak 25 peratus.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi Malaysia mampu bertahan pada kadar 4.4 peratus pada suku kedua, meskipun ia lebih perlahan berbanding anggaran awal sebanyak 4.5 peratus.

"Kami melihat eksport bersih menjadi faktor utama yang membebankan pertumbuhan keseluruhan dengan penyusutan sebanyak 72.6 peratus manakala permintaan domestik akan kekal berdaya tahan, terutamanya penggunaan dan pelaburan dalam sektor swasta," katanya.

Pada masa hadapan, Mohd Afzanizam menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih perlahan pada separuh kedua 2025, berkemungkinan sekitar 3.7 peratus hingga 3.8 peratus, yang menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan tahun ini sebanyak 4.1 peratus.

"Setakat ini, BNM bersikap proaktif dalam menguruskan dasar monetari negara, dengan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) telah dikurangkan sebanyak 100 bps pada Mei dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) diturunkan sebanyak 25 bps pada Julai. 

"Peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga akan membantu menggalakkan permintaan domestik yang lebih tinggi sekali gus mampu mengimbangi risiko kelembapan pertumbuhan global pada separuh kedua 2025,” katanya.

BNM mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan yang sama seperti pada suku pertama 2025. Pada suku kedua 2024, ekonomi negara berkembang 5.9 peratus.

Pertumbuhan pada suku kedua ini dipacu oleh permintaan domestik  yang kukuh.

Perbelanjaan isi rumah meningkat, di samping perkembangan yang lebih memberangsangkan dalam pelaburan swasta dan awam, meskipun pertumbuhan eksport yang lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh penurunan eksport berkaitan komoditi.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata persekitaran luaran kekal mencabar, dengan ketidakpastian mengenai tarif yang dikenakan oleh AS masih berlarutan, dan kesannya akan mengambil masa untuk dirasai sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan