EKONOMI

Ringgit Kukuh 5.1 Peratus Berbanding Dolar AS Pada Suku Kedua 2025 - BNM

15/08/2025 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Ringgit mengukuh sebanyak 5.1 peratus berbanding dolar AS pada suku kedua 2025, yang sebahagian besarnya didorong oleh kelemahan dolar AS secara meluas, kata Gabenor  Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata keadaan ini didorong oleh jangkaan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih perlahan, ketidakpastian yang semakin ketara berhubung dengan dasar perdagangan AS dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kestabilan fiskal AS.

“Selain itu, usaha terselaras yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dan BNM, termasuk libat urus dengan syarikat korporat dan pelabur, telah menggalakkan aliran dua hala dalam pasaran pertukaran asing domestik seperti yang diperhatikan dalam suku kedua,” katanya ketika mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2025 di sini hari ini.

Kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit bertambah sebanyak 1.5 peratus berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia pada suku kedua 2025.

Abdul Rasheed berkata kadar pertukaran ringgit akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran. 

Bagaimanapun, prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, bersama-sama dengan inisiatif berterusan bagi menggalakkan aliran, akan terus memberikan sokongan kepada ringgit.

“BNM kekal komited untuk memastikan fungsi pasaran pertukaran asing domestik yang teratur,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan