AM

MOSTI Rangka Tiga Strategi Utama FOM, Perkasa Peranan Ahli Parlimen Sebagai Ejen Kementerian

14/08/2025 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Ahli Parlimen yang dilantik sebagai ahli Friends of Ministry (FOM) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan dilibatkan secara langsung dalam program pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di kawasan masing-masing.

MOSTI dalam kenyataan memaklumkan perkara itu antara tiga strategi dirangka bagi pelaksanaan utama entiti berkenaan, yang digerakkan Kelab Penyokong Kerajaan MADANI, bertujuan memperkasakan Ahli Parlimen Backbenchers sebagai ejen kementerian untuk menjelaskan dasar kerajaan secara lebih berkesan kepada rakyat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang yang mengadakan pertemuan dengan ahli FOM MOSTI hari ini berkata FOM akan membantu memperkasakan komunikasi kementerian di lapangan, selain menyumbang kepada perbincangan dasar yang dapat membawa kebaikan kepada rakyat.

“Dengan sokongan padu Ahli-ahli Parlimen ini, agenda sains, teknologi dan inovasi dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya dalam ucapan seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Ahli FOM MOSTI yang dilantik ialah Ngeh Koo Ham (PH-Beruas), Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan), Chow Yu Hui (PH-Raub), Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor), Yeo Bee Yin (PH-Puchong), Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) dan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar).

Selain itu, Rodziah Ismail (PKR-Ampang), Dr Mohammed Taufiq Johari (PKR-Sungai Petani), Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong), Azli Yusof (Amanah-Shah Alam), Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) dan Larry Soon (PBM-Julau) turut dilantik sebagai ahli FOM MOSTI.

Selain penglibatan dalam program perdana MOSTI seperti STI 100³ dan STI MADANI, MOSTI menjelaskan strategi lain bagi pelaksanaan utama FOM termasuk taklimat berkala semasa sidang Parlimen mengenai dasar, perundangan dan cabaran MOSTI.

Hal ini termasuk pindaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2024–2030, penggubalan Rang Undang-undang STI dan pindaan Rang Undang-undang Tenaga Atom.

Strategi lain ialah setiap daripada 11 Ahli Parlimen yang dilantik di bawah FOM akan menjadi focal MP bagi agensi tertentu di bawah MOSTI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan