Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) - Malaysia boleh menjadi penghubung ekonomi lebih meluas antara ASEAN dan rantau Asia Selatan dan dengan kedudukan strategik sebagai hab perdagangan, pengeluaran dan pelaburan, Bangladesh mampu menawarkan peluang perniagaan yang besar.
Dalam menekankan kepentingan Dhaka kepada Malaysia dan ASEAN, Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh Profesor Dr Muhammad Yunus berkata penduduk di Bangladesh dan kawasan sekitarnya sahaja berjumlah lebih 170 juta orang yang mana boleh menawarkan pasaran pengguna yang lumayan.
Selain itu, Bangladesh juga dapat menawarkan potensi pengeluaran serantau melalui sumber manusia yang besar, katanya.
Yunus berkata lokasi Bangladesh memberikannya peranan unik dalam memudahkan perdagangan serantau, terutamanya untuk negara jiran yang dikelilingi daratan seperti Bhutan dan Nepal, serta negeri “Seven Sisters” di timur laut India, yang tidak mempunyai jalan laut.
Tujuh negeri tersebut adalah Arunachal Pradesh, Assam, Meghalaya, Manipur, Mizoram, Nagaland dan Tripura.
"Banyak kemudahan (ekonomi) boleh ditempatkan di Bangladesh kerana lebih mudah untuk dihantar ke laut (pelabuhan). Bagi negara yang tidak mempunyai akses terus ke laut, kami boleh menjadi laluan untuk ke pasaran dunia.
“Ini bermakna Malaysia boleh menghubungkan ekonominya dengan rangkaian negara yang lebih luas melalui Bangladesh," katanya kepada Bernama menerusi temu bual eksklusif pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia bermula 11 hingga 13 Ogos, atas Jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Temu bual itu diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj bersama Editor Perkhidmatan Berita Antarabangsa Voon Miaw Ping dan Penolong Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Kisho Kumari Sucedaram
Semasa lawatan itu, Yunus mengadakan pertemuan dengan Anwar, dengan kedua-dua pemimpin membincangkan kemajuan hubungan Malaysia–Bangladesh yang menumpukan kepada perdagangan dan pelaburan, buruh, pendidikan, pelancongan dan pertahanan, serta perkembangan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu turut bertemu dengan beberapa pelabur dan syarikat terkemuka tempatan termasuk Proton Holdings, Sunway Group, Axiata Group Bhd dan Khazanah Nasional Bhd.
Yunus, yang mengetuai kerajaan sementara Bangladesh sejak 8 Ogos 2024, berkata pelaburan asing dan perdagangan global merupakan komponen penting dalam membina semula ekonomi negara itu yang sedang membangun.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan geografi Bangladesh yang boleh menghubungkan akses ke Bhutan, Nepal dan India, beliau berkata kerjasama sedemikian boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Bangladesh, dengan negaranya membantu memudahkan pengangkutan barangan dan perkhidmatan.
“Kami mengalu-alukan kerjasama, dengan Malaysia boleh menjadi penghubung (ekonomi), dan inilah apa yang kami cari,” katanya.
Mengenai potensi sumbangan Bangladesh terhadap ekonomi ASEAN, beliau berkata negara anggota perkumpulan itu akan dapat memperoleh akses kepada lebih 170 juta pengguna, di samping tenaga kerja besar yang bersedia menyokong pengeluaran serantau.
"Ia bukan sekadar pasaran - ia juga sumber bagi sumber manusia. Sesiapa yang ingin membuat pengeluaran di sini (di Bangladesh) akan dapat mencari pekerja yang mereka perlukan, daripada buruh mahir hinggalah ke peringkat pengurusan," katanya.
Beliau juga mengetengahkan bidang kerjasama yang belum diteroka, termasuk perikanan laut dalam dengan negara jiran Myanmar, yang berkongsi perairan laut dengan Bangladesh, serta pengembangan perdagangan rentas sempadan bagi barangan fizikal dan digital.
“Kami ada lautan luas (di Teluk Bengal) tetapi kami tidak pernah meneroka perikanan laut dalam. Sekiranya kami bekerjasama dengan Myanmar, ia akan menjadi satu lagi peluang bagi pertumbuhan ekonomi,” katanya sambil menambah semakin luas pasaran terhubung semakin besar manfaat yang boleh diraih oleh semua yang terlibat.
Yunus berkata infrastruktur dan rangkaian pengangkutan melalui Bangladesh boleh membantu ekonomi negara jiran menyepadu ke dalam rantaian bekalan yang lebih luas.
“Penyepaduan sedemikian bukan sahaja akan meningkatkan perdagangan tetapi juga membuka peluang untuk pelaburan, perkongsian teknologi dan usaha sama dalam sektor baru muncul seperti industri maritim dan perkhidmatan digital,” katanya.
Bangladesh sudahpun menjadi pihak dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ASEAN di Asia Tenggara (TAC), yang menyediakan mekanisme formal untuk membolehkan penglibatan lebih rapat dengan blok itu melalui platform dua hala dan pelbagai hala.
Hubungan ekonomi ASEAN dan Bangladesh juga semakin meningkat, dengan perdagangan dua hala antara kedua-duanya mencecah US$6.16 bilion pada tempoh 2023-2024.
Bangladesh, ekonomi kedua terbesar di Asia Selatan, merupakan pemain penting di rantau Asia-Pasifik, menduduki tempat ke-35 di seluruh dunia dari segi nominal dan ke-25 dari segi kesetaraan kuasa beli.
Bagi Malaysia, Bangladesh merupakan rakan dagangan dan destinasi eksport kedua terbesarnya di Asia Selatan, dengan eksport utama terdiri daripada produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia, manakala import terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan perkilangan.
Pada 2024, perdagangan Malaysia-Bangladesh meningkat 5.1 peratus kepada RM13.35 bilion (US$2.92 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial