AM

KKDW Tubuh HLC Rentas Kementerian, Perkasa Agenda Luar Bandar - Ahmad Zahid

14/08/2025 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh agenda pembangunan luar bandar menerusi penubuhan rasmi High-Level Committee (HLC) Pembangunan Desa, sebagai platform strategik yang membincangkan dasar dan pelaksanaan pembangunan desa secara menyeluruh merentas kementerian dan agensi.

Timbalan Perdana Menteri  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata HLC akan disokong dengan jawatankuasa kerja yang dibentuk berdasarkan enam bidang fokus utama, iaitu pendidikan, pembangunan usahawan, ekonomi desa, teknologi dan pendigitalan, pelancongan desa, serta infrastruktur desa.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata HLC akan bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun atau mengikut keperluan.

“Penubuhan HLC selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan kepentingan tatakelola bersepadu bagi mengurangkan pertindihan fungsi, mengoptimumkan penggunaan sumber dan mempercepat pencapaian hasil.

“Melalui HLC ini, kerajaan berhasrat mengurangkan penghijrahan belia ke bandar dengan mewujudkan lebih banyak peluang di desa, melahirkan lebih ramai teknousahawan desa, memperkukuh peranan Lembaga Kemajuan Wilayah melalui model perniagaan baharu serta merancakkan sektor pelancongan desa yang berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat pertama HLC di Bangunan Ahli Parlimen, Parlimen Malaysia yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Ahmad Zahid berkata antara input utama mesyuarat ini termasuk meningkatkan kemudahan dan capaian sekolah luar bandar, memperkukuh promosi pelancongan desa, memperhatikan kebajikan warga emas serta golongan berkeperluan khas, dan menambah baik infrastruktur kesihatan demi kesejahteraan komuniti luar bandar.

Beliau berkata antara inisiatif rentas kementerian yang telah dimulakan dan memberi impak langsung kepada pemegang taruh desa termasuklah UP_TVET yang menyediakan sistem permohonan berpusat bagi kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Program lain, Inap Desa Tahun Melawat Malaysia 2026 yang memacu pelancongan desa sebagai daya tarikan utama, Karnival Mega 3 Dimensi (KM3D) sebagai platform keusahawanan berskala besar serta Sistem Tunggal Permohonan SBP-MRSM yang akan menyelaras kemasukan ke sekolah berasrama.

“Saya percaya pembangunan desa bukan sekadar membina infrastruktur fizikal, tetapi membina masa depan dan menggerakkan potensi rakyat. Saya juga yakin dengan semangat menyeluruh kerajaan, HLC ini akan merealisasikan ekosistem desa yang makmur, lestari dan menjadi pemacu kemajuan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan