AM

HKHM 2025: KLIA Terminal 1 Bergema Dengan Alunan Lagu Patriotik, Persembahan Budaya

13/08/2025 05:30 PM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

SEPANG, 13 Ogos (Bernama) --  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini bergema dengan alunan lagu patriotik dan tradisional serta persembahan budaya sempena program PENTARAMA MERDEKA@KLIA anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN). 

Program dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) itu diadakan bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) dengan fokus utama untuk mengetengahkan elemen patriotisme melalui persembahan secara santai.

Program berkenaan turut mempertontonkan persembahan tarian kebudayaan negara serta sesi interaksi bersama pengunjung iaitu kuiz kenegaraan yang bertemakan patriotisme.

Ketua Pengarah JAPEN Julina Johan berkata pengenalan PENTARAMA MERDEKA@KLIA di pintu masuk utama negara itu membolehkan warga tempatan dan asing melihat budaya Malaysia serta semangat patriotisme yang ada dalam diri rakyat negara ini.

“Pendekatan kali ini adalah cukup berbeza, kami bukan sahaja membawa lagu patriotik tetapi kami mengetengahkan elemen budaya yang ada dalam Malaysia. 

“Ada lagu (tradisional) daripada Pahang, Perak dan Perlis… lagu ini kami berikan nafas baharu sebab ingin beri pendedahan kepada pengunjung di KLIA Terminal 1,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Operasi KLIA Terminal 1 Abdul Hasman Abdul Muhimim dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, JAPEN Muhammad Najmi Mustapha.

Julina berkata PENTARAMA MERDEKA@KLIA ini juga dilihat menjadi satu daripada medium bagi mempamerkan identiti dan semangat kenegaraan Malaysia kepada dunia. 

“Pengunjung luar yang datang pertama kali ke Malaysia nampak kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia, bukan sahaja dari segi makanan, pakaian tetapi budaya serta muziknya,” katanya.

Beliau berkata program itu mendapat sambutan baik daripada semua pihak dan acara terakhir akan diadakan di KLIA Terminal 2 pada 21 Ogos ini.

Sementara itu, Julina berkata Program Pentarama Merdeka @HOHO akan diadakan di Perak sebagai satu daripada aktiviti menyemarakkan HKHM 2025 menerusi elemen santai. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan