KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 1,171 projek perumahan swasta sakit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM113.55 bilion berjaya dipulihkan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu berkata kejayaan itu melibatkan 139,848 unit rumah yang dipulihkan sejak mesyuarat pertama TFST pada 2023.
“Bagi tahun ini sahaja sehingga Jun lepas, TFST berjaya memulihkan 244 projek perumahan swasta melibatkan 27,101 unit rumah dengan GDV RM21.07 bilion.
“TFST juga berjaya memulihkan sepenuhnya lima projek terbengkalai melibatkan 887 unit rumah dengan GDV berjumlah RM55.74 juta melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Aiman Athirah berkata lima projek berkenaan ialah Taman Meru Makmur dan Pangsapuri Impian Meru di Klang, Selangor; Taman Mega 1, Mukim Kerteh, Kemaman, Terenganu; Taman Desa Kempas, Fasa 3, Tebrau, Johor; dan Taman Megah Edora, Bachok, Kelantan.
Aiman Athirah berkata sehingga kini TFST telah mengesan dan memantau 233 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai lewat, 360 projek sebagai sakit dan 109 projek sebagai terbengkalai di seluruh negara.
Mengenai pemulihan projek Residensi Hektar Gombak, Aiman Athirah berkata perkembangan terkini adalah sangat positif dengan pemaju dan kontraktor utama baharu, iaitu Bina Permai Sdn Bhd bersetuju untuk melaksanakan kerja lebih masa bagi mempercepatkan penyiapan projek.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial