KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Sejumlah RM8.4 juta diperuntukkan bagi perolehan lencana Jalur Gemilang kepada 5.14 juta murid dan pelajar di institusi pengajian di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurut KPM menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, lencana itu dibekalkan kepada murid dan pelajar di sekolah, Kolej Matrikulasi, Kolej Tingkatan Enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan setiap orang diberikan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma.
"Peruntukan ini telah disalurkan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan institusi pendidikan yang berkenaan pada Februari 2025. Peruntukan ini diselaraskan mengikut enrolmen murid dan pelajar.
"Proses perolehan dilaksanakan oleh JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta institusi berkenaan melalui sistem e-Perolehan sama ada secara tender atau sebut harga tertakluk kepada peruntukan yang diterima," menurut KPM.
Ia bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai kos ditanggung kerajaan untuk membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada semua murid di bawah institusi pendidikan KPM serta syarikat manakah yang membekalkannya.
JPN telah diberi kebenaran untuk melaksanakan perolehan mengikut zon bagi menyegerakan proses pembekalan dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pembekal yang layak.
Sebanyak 91 pembekal terlibat dalam membekalkan lencana Jalur Gemilang di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial