ALOR SETAR, 10 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berharap lebih ramai pelajar sekolah daripada keluarga B40 menyertai Program MyLesen B2 fasa dua bagi membolehkan mereka memiliki lesen motosikal secara percuma.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata ia seiring dengan 10,000 kuota baharu bagi tahun ini yang diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, baru-baru ini.
“Untuk fasa kedua ni kita juga menyasarkan lebih ramai pelajar sekolah menengah berumur 16 tahun ke atas yang kurang berkemampuan dan kita akan lihat bagaimana untuk kita membantu pelajar ini mendapatkan lesen bagi mereka menunggang motosikal ke sekolah.
“Ada beberapa perkara telah diteliti pihak JPJ bersama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mungkin untuk kita jadikan Program MyLesen B2 untuk peringkat sekolah pula,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu MyLesen B2 peringkat negeri Kedah 2025 di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata penyertaan pelajar sekolah menengah kurang berkemampuan itu diharap dapat membantu mereka memiliki lesen memandu lebih awal sekali gus memastikan pematuhan kepada undang-undang jalan raya.
“Saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan permohonan JPJ untuk menambah lagi peruntukan bagi Program MyLesen B2 ini untuk tahun hadapan kerana ia mendapat sambutan amat menggalakkan,” katanya.
Bagi fasa satu program itu yang bermula Februari lepas, 15,000 kuota yang diperuntukkan telah dimanfaatkan perserta di seluruh negara.
Program MyLesen B2 merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan B40 mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 secara percuma, dalam usaha untuk meningkatkan mobiliti, peluang pekerjaan dan keselamatan jalan raya.
Sementara itu, Aedly Fadly berkata sebarang cadangan untuk menurunkan had umur memiliki lesen memandu di bawah usia 16 tahun perlu diputuskan kerajaan.
Beliau berkata walaupun ada beberapa negara telah mempraktikan perkara itu, persediaan rapi dan perbincangan di peringkat Kabinet perlu dilakukan bagi membolehkan ia dilaksanakan di negara ini.
“Sekarang ini kita menetapkan umur bagi mengambil lesen memandu ialah 16 tahun dan untuk kereta 17 tahun…bukan soal tak sesuai tapi mungkin kita tak bersedia dari segi fasiliti dan infrastrukturnya, kalau kita nak turunkan had umur ini ia memerlukan persediaan yang rapi, contohnya di peringkat insititut memandu serta kekangan di peringkat ibu bapa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial