DUNIA

UNRWA Seru Penyaluran Bantuan Kepada Gaza Dilakukan Secara Selamat Dan Tanpa Halangan

06/08/2025 01:50 PM

NEW YORK, 6 Ogos (Bernama-QNA) -- Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menggesa agar bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza secara selamat dan tanpa halangan, sambil memberi amaran bahawa kebuluran kini menjadi pembunuh terbaharu di wilayah terkepung itu.

Dalam satu hantaran di platform X, Lazzarini berkata bahawa selepas lima bulan usaha untuk menggantikan respons PBB yang diselaraskan dengan empat pusat pengagihan tentera Israel, keadaan kemanusiaan di Gaza semakin merosot.

Beliau berkata, sebelum kebuluran menular ke seluruh Semenanjung Gaza, pusat pengagihan komuniti yang disokong oleh rakan pelaksana sebelum ini telah menyediakan makanan dan bantuan kepada hampir dua juta orang, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

“Sudah tiba masanya untuk menyampaikan bantuan secara selamat, tanpa halangan dan bermaruah,” katanya sambil menekankan keperluan untuk membenarkan PBB dan rakan-rakannya menjalankan tugas kemanusiaan mereka.

Terdahulu pada Selasa, PBB melaporkan bahawa meskipun Israel baru-baru ini mengumumkan ‘tactical pause’ bagi memudahkan konvoi bantuan, jumlah bantuan yang memasuki Gaza masih tidak mencukupi.

Trak bantuan terus berdepan kelewatan dan sekatan yang menjejaskan keberkesanan penyampaian bantuan.

Sejak 7 Okt 2023, Israel melancarkan operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza yang dicirikan oleh pembunuhan beramai-ramai, kebuluran, kemusnahan dan pemindahan paksa, sambil mengingkari rayuan antarabangsa serta mencabar perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) agar menghentikan pencerobohan.

-- BERNAMA-QNA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan