MADRID, 4 Ogos (Bernama-dpa) -- Satu penerbangan dari Madrid ke Paris terpaksa berpatah balik selepas bertembung dengan seekor burung besar sejurus selepas berlepas, menyebabkan kerosakan pada pesawat dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penumpang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut syarikat penerbangan Iberia, pesawat Airbus A321XLR yang masih baharu dan hanya beroperasi selama beberapa minggu itu mengalami kerosakan pada bahagian hidung dan sebuah daripada enjinnya dalam insiden yang berlaku pada petang Ahad.
Media melaporkan seramai 182 penumpang berada di dalam pesawat itu.
Iberia menegaskan, kru penerbangan bertindak segera mengikut protokol keselamatan dan mengambil keputusan untuk berpatah balik ke lapangan terbang di Madrid dengan selamat.
Video yang dimuat naik dalam talian menunjukkan penumpang memegang topeng oksigen di muka masing-masing semasa kejadian dan terdapat lubang pada bahagian hadapan pesawat.
Pelanggaran dengan burung adalah perkara biasa, kata pengawal trafik udara Madrid, Juan Gomez dalam temu bual bersama saluran televisyen RTVE lewat Ahad. Beliau berkata kesan pelanggaran itu kelihatan lebih teruk dalam gambar berbanding realiti sebenar.
"Bahagian hadapan pesawat sentiasa diperbuat daripada bahan yang sangat ringan kerana ia menempatkan radar cuaca yang mampu mengesan ribut yang menghampiri," kata Gomez.
"Burung adalah risiko yang diketahui dan dikawal dalam industri penerbangan," tulis portal khusus Aviacionline. Menurut portal itu, lapangan terbang mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kehadiran burung berhampiran landasan, namun pelanggaran tetap tidak dapat dielakkan sepenuhnya.
Menurut portal itu, pensijilan enjin jet melibatkan ujian yang ketat bagi memastikan enjin boleh dimatikan dengan selamat jika berlaku kegagalan, tanpa menjejaskan integriti struktur pesawat.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial