Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 2 Ogos (Bernama) -- Mi kolok, kek lapis, coklat, lada putih dan hitam antara produk pengenalan dari Bumi Kenyalang yang kini boleh didapati di Pavilion Sarawak di ekspo Malaysia Fest 2025 yang sedang berlangsung di Singapura hingga Ahad ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sarawak, Norsalawaty Abdul Kadir berkata produk-produk ini mempunyai keunikan tersendiri, menjadikannya bukan sahaja sesuai dijual secara langsung kepada pengunjung malah berpotensi untuk dieksport.
“Contohnya, coklat jenama Borco daripada D Mummy’s Recipe yang dijual di sini menggunakan koko dari Borneo serta mempunyai perisa dabai, empelajo, dan terung asam, iaitu buah dan sayuran yang ditanam di Sarawak.
Jika coklat lain di pasaran menggunakan kacang hazel atau badam, di Sarawak ada empelajo yang rasanya lebih lemak daripada badam,” katanya kepada Bernama.
Norsalawaty berkata sebanyak lima usahawan negeri itu telah dipilih untuk menyertai Pavilion Sarawak di ekspo itu.
Beliau berkata penyertaan pertama Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) telah mendapat sambutan memberangsangkan dan diharap lebih ramai usahawan bakal menyertai ekspo sama pada tahun depan.
“Kita juga ada mengadakan padanan perniagaan antara usahawan Sarawak dan peniaga serta pengeksport di Singapura.
“Kesemua usahawan yang dibawa memang bersedia untuk eksport termasuk dari segi kapasiti pengeluaran dan telah mempunyai pensijilan yang diperlukan seperti sijil halal,” katanya.
Sementara itu, Norsalawaty berkata FAMA buat julung kali membawa masuk 400 kilogram limau susu dari Sarawak ke Malaysia Fest kali ini untuk memberi para pengunjung peluang merasai dan menikmati produk pertanian itu sebagai sebahagian daripada segmen “Pulau Buah-buahan Tropika”.
“Buat masa ini tumpuan penanaman di Sarawak untuk limau susu masih belum secara meluas, jadi kita harap jika ada permintaan di sini, dapat menyuntik semangat petani-petani kita,” katanya.
FAMA telah membawa masuk kira-kira 10 tan buah-buahan tropika dan bermusim ke ekspo kali ini.
Pengarah Urusan Jutaan Purnama Sdn Bhd Saiful Hammidi Hamid berkata produk segera keluaran syarikat itu seperti mi kolok, mi kampua dan mi pok berjenama Purnama Taste sedang mengintai peluang eksport ke Singapura dan pasaran yang lebih luas.
Beliau percaya produk Sarawak mempunyai pasaran tersendiri serta mampu menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih meluas.
“Sekarang produk kami telah dipasarkan bukan sahaja di Malaysia malah di Paris tahun ini selepas menyertai ekspo di negara itu. Sambutan amat menggalakkan. Kami bermula secara kecil melalui eksport kargo dan baru-baru ini menggunakan kontena,” katanya.
Malaysia Fest 2025 bertemakan “Unlock The Treasures of Malaysia” dari 31 Julai hingga 3 Ogos akan berlangsung di Hall 5A dan 5B, Singapore Expo dari 10 pagi hingga 10 malam.
Program anjuran MegaXpress International dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi FAMA itu menawarkan 321 reruai dan disertai 220 syarikat usahawan Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial