PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedang melaksanakan penilaian terancang bagi meneliti peranan tenaga nuklear sebagai satu daripada pilihan sumber elektrik bersih, stabil dan berdaya saing dalam campuran tenaga negara pada masa hadapan.
Inisiatif tersebut mengambil kira keperluan untuk mempelbagaikan sumber tenaga, memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang, menyokong sasaran pengurangan pelepasan karbon, serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, selaras dengan komitmen perubahan iklim negara dan peningkatan permintaan tenaga.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO), MyPOWER Corporation diberi tanggungjawab untuk menyelaras usaha persediaan berdasarkan garis panduan yang disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
"Fasa persediaan ini dilaksanakan melalui koordinasi rangka kerja yang teratur, menerusi mekanisme jawatankuasa teknikal merentasi kementerian dan jabatan serta agensi bagi memastikan pendekatan yang bersepadu dan menyeluruh di peringkat nasional.
"Pelaksanaannya akan berpandukan kepada Pendekatan Bertahap IAEA, termasuk aspek pendirian negara, rangka kerja perundangan dan kawal selia, penglibatan pihak berkepentingan dan pembangunan sumber manusia," menurut PETRA menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, ketika ini belum ada keputusan mengenai pelaksanaan, jenis teknologi atau kapasiti reaktor nuklear yang akan dibangunkan.
Menurut PETRA, keutamaan kerajaan adalah memastikan sebarang pertimbangan pada masa hadapan berpaksikan analisis teknikal komprehensif dan selaras dengan keutamaan pembangunan negara serta mematuhi obligasi antarabangsa.
"Ini juga sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan perancangan jangka panjang negara yang berasaskan ilmu, kemampanan sumber serta kesejahteraan rakyat dan generasi masa depan," menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Khamis lepas berkata kerajaan mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber tenaga bersih yang berdaya saing dan selamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial