DUNIA

Konflik Iran-Israel: Indonesia Bawa Pulang 100 Rakyatnya

21/06/2025 04:55 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 21 Jun (Bernama) -- Indonesia memindahkan 100 rakyatnya dari Iran dan wilayah yang diduduki Israel berikutan risiko konflik di rantau itu semakin meningkat, kata Menteri Luar Sugiono pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, seramai 96 orang terdiri daripada 93 warga Indonesia, tiga kakitangan kedutaan serta seorang warganegara Iran yang berkahwin dengan rakyat Indonesia, berjaya menyeberangi sempadan Iran-Azerbaijan dan tiba dengan selamat di Baku.

“Mereka kini sedang berehat di Baku selepas menempuh perjalanan selama 16 jam. 

"Perjalanan agak lancar dan selamat walaupun keadaan di sempadan agak sesak berbanding biasa,” katanya dalam kenyataan video yang dikeluarkan Kementerian Luar dari Istanbul.

Baki empat lagi rakyat Indonesia dipindahkan melalui operasi berasingan dari wilayah yang diduduki Israel menerusi Jordan dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Sugiono berkata pihak kementerian terus memantau secara rapat keadaan rakyat Indonesia di rantau berkenaan dan memaklumkan bahawa fasa pertama misi pemindahan berjalan lancar.

Menurut Kementerian Luar, seramai 386 rakyat Indonesia kini menetap di Iran manakala 192 lagi berada di Israel.

Sugiono kini berada di Istanbul bagi menghadiri Sesi ke-51 Persidangan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung dari 21 hingga 22 Jun, dengan situasi di Iran dan Gaza dijangka menjadi tumpuan perbincangan.

Beliau turut menggesa semua pihak agar bertenang dan memilih jalan dialog demi mencari penyelesaian  terhadap krisis yang sedang berlaku.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan