AM

Safari Wukuf: 80 Jemaah Uzur Dibawa Ke Arafah

04/06/2025 04:13 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 4 Jun (Bernama) -- Seramai 80 jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M yang uzur dan mengalami masalah kesihatan akan dibawa menunaikan ibadah wukuf di Padang Arafah pada esok menerusi Program Safari Wukuf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sebanyak lapan bas khas yang diubah suai tempat duduknya menjadi katil akan digunakan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan para jemaah sepanjang perjalanan ke Arafah.

“Dalam pada itu, seramai 195 petugas kebajikan dan perubatan telah digerakkan sejak tengah malam tadi bagi menyantuni dan membantu jemaah sebaik mereka tiba di Arafah,” katanya kepada pertugas media selepas menyaksikan pelepasan jemaah haji ke Arafah di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata seramai 385 Sahabat Maktab yang juga sukarelawan dalam kalangan jemaah haji dari 11 maktab turut digerakkan bagi memastikan kelancaran keseluruhan operasi Masya’ir pada tahun ini.

“Saya secara peribadi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas haji Tabung Haji serta sahabat maktab yang bertugas dengan penuh komitmen demi memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan supaya seluruh operasi Masya’ir berjalan lancar dan semua jemaah haji Malaysia diberikan perlindungan serta memperoleh haji yang mabrur.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan