KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Seiring tanggungjawab Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, edisi kelima Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 bakal menjadi platform terbaik dalam memperkasakan kerjasama media tempatan bersama pemain industri media serantau.
Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj berkata bagi tujuan berkenaan, pengamal media daripada semua negara anggota ASEAN telah dijemput menghadiri sambutan yang akan diadakan pada 14 Jun di ibu negara.
Beliau yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025 berkata jemputan untuk menghadiri sambutan itu turut dipanjangkan kepada pengamal media dari China, Jepun dan Korea Selatan.
“Walaupun sambutan HAWANA ini lebih bersifat tempatan, namun dengan menjemput penyertaan rakan-rakan media dari negara ASEAN bagi sesi forum dan sambutan kemuncak 14 Jun, kita melihat ia peluang terbaik untuk meluaskan rangkaian kerjasama.
“Media kini tidak lagi boleh bergerak sesama sendiri sahaja (dalam negara), ia perlu lebih daripada itu, HAWANA ini boleh jadi tempat kita bertukar pandangan dengan pemain industri daripada negara lain, terutama mereka yang sudah advance dalam penggunaan teknologi termasuk AI (kecerdasan buatan),” katanya.
Arul Rajoo berkata demikian dalam program Jendela Fikir di Bernama Radio hari ini, yang membincangkan tajuk “HAWANA: Menyatukan Suara Media, Memperkasakan Wartawan”.
Mengulas lanjut mengenai sambutan kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini pada 14 Jun yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata Bernama selaku agensi pelaksana giat melakukan persiapan akhir.
“Sebenarnya kita ada permintaan daripada negeri-negeri untuk adakan HAWANA di sana (negeri mereka), kita bangga kerana ia menunjukkan HAWANA semakin mendapat sambutan, namun memandangkan kekangan waktu kerana Bernama juga media rasmi dan penyelaras Pusat Media Antarabangsa ASEAN, jadi kita rasakan lebih sesuai kali ini ia diadakan di Kuala Lumpur.
“Selepas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 Mei, kita kini akan memanfaatkan tempoh dua minggu yang ada ini untuk melakukan persiapan sebaiknya untuk penganjuran HAWANA 2025 nanti,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai pengisian sambutan HAWANA 2025, Arul Rajoo berkata ia antara lain akan melibatkan penganjuran Karnival HAWANA 2025 bermula 13 hingga 15 Jun di Sunway Putra Mall di sini, dengan pembukaan hampir 20 reruai oleh syarikat-syarikat media tempatan.
“Di reruai itu, rakyat berpeluang untuk mendekati dan mengetahui lebih lanjut peranan dan tanggungjawab seorang pengamal media itu sendiri, yang sebelum ini mereka hanya berpeluang menontonnya di kaca televisyen, mendengar di radio dan membaca di akhbar atau portal,” katanya.
Arul Rajoo berkata program lain yang telah diatur termasuk Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 yang telah berlangsung di Wisma Bernama di sini baru-baru ini, selain Sukan HAWANA dijadual pada September ini melibatkan sukan seperti bola sepak, bowling, bola jaring serta beberapa sukan tradisional.
“Di sebelah pagi sambutan kemuncak HAWANA (14 Jun) pula, akan ada forum media yang menyaksikan penglibatan pemain industri dan pelajar universiti, untuk membincangkan trend semasa dunia kewartawanan.
“Forum itu juga akan beri ruang kepada Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia, yang penubuhannya telah diluluskan Parlimen sebelum ini, untuk mereka beri pandangan apa yang akan berlaku pada masa hadapan media selain harapan mereka susulan kepada penubuhan Majlis berkenaan,” katanya.
Menyentuh mengenai Tabung Kasih HAWANA, Arul Rajoo berkata setakat ini sebanyak 350 pengamal media telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan, melibatkan mereka yang masih bekerja di dalam industri dan juga golongan pesara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial