POLITIK

Tengku Zafrul Zahir Penghargaan Kepada Rakan-rakan Dalam UMNO, Tekad Sertai PKR

01/06/2025 10:35 AM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

SEPANG, 31 Mei (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangannya dalam UMNO, namun mengesahkan tekadnya untuk berhijrah ke Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata keputusan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR diambil hasil pertimbangan mendalam dan sepenuhnya yang datang daripada dirinya sendiri, tanpa dipaksa atau dipengaruhi mana-mana pihak.

“Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang mudah, tetapi saya telah memikirkannya secara mendalam. Saya menghargai mereka yang memahami hak saya sebagai individu dalam memilih hala tuju politik saya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) serta rakan-rakan dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak membantu, memberi sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif dalam UMNO,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

Beliau turut memohon agar diberikan ruang untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada rukun Islam kelima itu bersama keluarganya, di samping memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan sepanjang hubungan persahabatan beliau dengan pelbagai pihak.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraan negara dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia ketika berada di Tanah Suci,” katanya.

Tengku Zafrul turut ditanya mengenai desakan sesetengah pihak agar beliau meletakkan jawatan menteri memandangkan ia merupakan kuota UMNO.

“Saya ingin memberi fokus kepada ibadah haji dan saya serahkan segala urusan itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO bagi menyertai PKR.

Tindakannya itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang meminta kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan semula kepada parti itu, susulan tindakan Tengku Zafrul meletakkan semua jawatan dan keahliannya dalam UMNO.

Ahmad Zahid hari ini mengesahkan bahawa Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan telah menerima surat rasmi berhubung peletakan jawatan Tengku Zafrul.

Namun begitu, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh hari ini berkata pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Tengku Zafrul untuk menyertai parti berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan