POLITIK

PKR Perlu Agresif Hadapi PRU16 - Nurul Izzah

17/05/2025 12:45 AM

KUANTAN, 16 Mei (Bernama) -- PKR  perlu bergerak lebih aktif dan strategik sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), khususnya dalam usaha memperkukuh sokongan dalam kalangan pengundi luar bandar.

Naib Presidennya Nurul Izzah Anwar berkata antara tumpuan utama parti itu bagi tempoh dua tahun akan datang ialah mengadakan semula rundingan dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) berkaitan pembahagian kerusi bagi memastikan persiapan lebih mantap.

“Kita (PKR) perlu menyusun semula perbincangan dengan parti-parti komponen. Desakan kita juga perlu ditingkatkan kerana jika dibiarkan seperti dahulu, kita akan kehilangan momentum.

“Saya tidak mahu PKR menjadi parti minoriti. Pada 1999, undi Melayu kepada kita pernah mencecah 55 peratus, tetapi kini purata hanya sekitar 30 peratus,” katanya ketika berucap pada program Temu Rapat Akar Umbi di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah menegaskan komitmen PKR untuk memperkukuh budaya kerja berasaskan data termasuk memperluas penggunaan kajian dan penyelidikan sebagai asas kepada strategi parti.

Menurut beliau, pendekatan itu pernah digunakan menerusi pelaksanaan Laporan Indeks Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh 2021 yang dibangunkan bersama Prof Dr. Fatimah Kari, bekas Pengarah Pusat Pengajian Kemiskinan dan Pembangunan, Universiti Malaya.

Sementara itu, pemilihan PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden antara Nurul Izzah dan Datuk Seri Rafizi Ramli, manakala presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal tanpa pencabar.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita dijadual berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, dengan pemilihan pimpinan pusat diadakan pada 23 Mei.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan