Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia mengakhiri peningkatan empat harinya dengan ditutup rendah pada Khamis, terjejas ekoran penurunan pasaran niaga hadapan getah serantau, penyusutan ketara harga minyak mentah dan pengukuhan ringgit yang berterusan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.
Beliau berkata harga minyak merosot lebih US$1 setong pada Khamis dalam persekitaran kemungkinan rundingan nuklear AS-Iran berjaya dicapai, sementara peningkatan mendadak inventori minyak mentah AS minggu lepas meningkatkan lagi kebimbangan pelabur terhadap lebihan bekalan.
Sentimen pasaran turut dilemahkan oleh ketidaktentuan yang masih berlarutan berkaitan dasar perdagangan AS-China berikutan penangguhan tarif selama 90 hari, katanya kepada Bernama.
"Ringgit juga mengukuh berbanding dolar AS dalam persekitaran potensi rundingan perdagangan dan penentuan hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan.
“Namun begitu, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kemajuan positif rundingan perdagangan AS-China dan data jualan kereta global yang menggalakkan,” katanya.
Sementara itu, setakat 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 susut sebanyak 11 sen kepada 769 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun sebanyak 4.0 sen kepada 612 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial