KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Syarikat penyelesaian pembiayaan teknologi ICT Zone Asia Bhd menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM26.6 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) sempena pemindahannya daripada Pasaran LEAP kepada Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Pemindahan ini dijadualkan pada 3 Jun 2025 dan akan melibatkan terbitan awam sebanyak 133 juta saham biasa baharu berharga 20 sen sesaham.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tommy Lim Kok Kwang berkata penyenaraian di Pasaran ACE akan memberi peluang kepada syarikat untuk mengembangkan perniagaan secara organik dengan menerima akses kepada pembiayaan daripada pasaran modal Malaysia.
Langkah ini juga akan meningkatkan kapasitinya untuk memenuhi permintaan pihak berkepentingan yang semakin meningkat, disokong oleh kebolehlihatan yang lebih baik dalam pasaran meluas.
"Daripada hasil sebanyak RM26.6 juta, RM21 juta (atau hampir 80 peratus) akan diperuntukkan untuk mengembangkan perniagaan pembiayaan teknologi kami.
“Sebanyak RM1.5 juta lagi akan diperuntukkan untuk usaha jualan dan pemasaran manakala lebihan dana akan menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian bagi pemindahan ke Pasaran ACE," katanya pada pelancaran prospektus hari ini.
Syarikat itu juga berhasrat untuk memperkukuh kedudukan dan menumpukan untuk mencapai sasaran RM500 juta bagi tempahan belum dimasuk kira dalam tempoh tiga tahun.
ICT Zone Asia terus menunjukkan prestasi kukuh dengan mencatatkan pendapatan tertinggi sebanyak RM127.8 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM9.1 juta.
"Model perniagaan berdasarkan kontrak, kebolehlihatan hasil serta kecekapan operasi kumpulan menawarkan aliran tunai yang stabil dan boleh dijangka kepada pelabur.
“Ciri-ciri ini semakin relevan dalam landskap pasaran masa kini, dengan asas terlaras risiko dan pelaksanaan konsisten menjadi keutamaan," kata syarikat.
IPO itu kini dibuka untuk permohonan dan akan ditutup pada 20 Mei 2025.
Malacca Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama untuk IPO.
SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd adalah penasihat kewangan manakala Kenanga Investment Bank Bhd adalah penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial