KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) akan dimulakan dengan pengenalan Insurans Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) asas bermula tahun depan.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata MHIT asas berfungsi sebagai platform seragam untuk memastikan keterusan dan keberkesanan penggunaan sistem pembayaran berasaskan DRG.
“Pelaksanaan sistem DRG sektor swasta adalah langkah interim bagi membendung kenaikan kos perubatan swasta yang membebankan rakyat dengan metodologi sedikit berbeza dengan DRG Kebangsaan.
“DRG sektor swasta dibangunkan selari dan boleh digabungkan melalui kebolehoperasian sistem dengan DRG kebangsaan kelak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai rancangan lima tahun kerajaan memperkenalkan sistem DRG sebagai langkah menyelaraskan penstrukturan kos kesihatan memandangkan terdapat banyak aduan di hospital swasta berhubung kos rawatan yang tinggi.
Lukanisman berkata DRG Kebangsaan dirangka seawal 2023 dengan pelan lima tahun bagi pelaksanaan seluruh negara bermula 2027 dan langkah itu membuktikan KKM sentiasa komited dalam penyelarasan penstrukturan kos kesihatan dan pelaksanaan
Beliau berkata inflasi kos perubatan di sektor swasta juga mendorong penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) oleh KKM dan Kementerian Kewangan menyelaras pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah strategi RESET termasuk pelaksanaan sistem DRG.
“Meskipun pembangunan DRG di sektor swasta dilaksanakan lebih awal, usaha ini masih menyokong usaha pembangunan sistem DRG kebangsaan yang lebih inklusif kerana mengambil kira integrasi data dan analisis yang lebih tepat, bersama-sama hospital pengajar universiti dan hospital angkatan tentera,” katanya.
Beliau berkata pelan pelaksanaan DRG Kebangsaan sedang berjalan mengikut garis masa iaitu dengan penubuhan jawatankuasa khas bersama agensi kerajaan dan swasta, kajian teknikal serta permohonan, dan kelulusan peruntukan pembangunan sistem ICT DRG Kebangsaan sepanjang tempoh 2023 hingga 2024.
Pada tahun ini pula, dijadualkan pembangunan sistem DRG Kebangsaan, bengkel penyelesaian dan latihan serta penetapan kod klinikal di hospital kerajaan dan swasta.
Beliau berkata pada 2026 pula, pembangunan algoritma DRG Kebangsaan, model penetapan kod dan integrasi sistem akan dilakukan, diikuti ujian sistem, pelaksanaan projek kritikal dan pelancaran rasmi Sistem DRG Kebangsaan pada 2027.
Mengenai cadangan sama ada kerajaan merancang mewujudkan tribunal pesakit bagi meluahkan ketidakpuasan hati mereka, Lukanisman berkata kerajaan tidak mempunyai perancangan mewujudkannya.
“Bagaimanapun pengendalian aduan terhadap hospital swasta adalah di bawah tanggungjawab Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) KKM selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
“Mekanisme untuk pesakit menyalurkan ketidakpuasan hati terhadap hospital swasta diperuntukkan di bawah Seksyen 36 Akta 586 serta Peraturan 40 Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta yang Lain) 2006,” katanya.
Beliau berkata setiap aduan yang diterima akan disiasat dan jika terdapat pelanggaran undang-undang, tindakan penguatkuasaan seperti notis tunjuk sebab, amaran, kompaun kesalahan, penggantungan lesen atau pembatalan lesen boleh dikenakan terhadap pihak hospital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial