KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Malaysia perlu memberi keutamaan kepada pelaburan dalam sistem penjagaan kesihatan dan sokongan sosial bagi membantu rakyat melalui usia tua dengan sihat dan bermakna.
Berdasarkan tinjauan Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos), bertajuk Sikap terhadap Penuaan 2025, mendapati rata-rata rakyat Malaysia menjangkakan mereka akan hidup selama 15 tahun dalam fasa usia tua.
Kajian itu juga menunjukkan definisi usia tua bagi rakyat Malaysia kini bermula pada umur 60 tahun, berbanding 56 tahun tujuh tahun lalu.
Rakyat Malaysia, seperti penduduk Asia Tenggara lain, menunjukkan sikap lebih positif terhadap usia tua. Di negara maju pula, jangka hayat lebih panjang dan ambang usia tua yang lebih tinggi tidak semestinya dikaitkan dengan sentimen positif.
“Sikap rakyat Malaysia ini mungkin dipengaruhi oleh nilai budaya yang menghormati warga emas, selain sokongan keluarga dan masyarakat yang mengurangkan kegusaran terhadap proses penuaan,” menurut kenyataan Ipsos.
“Namun begitu, cabaran utama tetap wujud memandangkan Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043.
“Oleh itu, Malaysia perlu mengutamakan pelaburan dalam sistem penjagaan kesihatan dan sokongan sosial bagi memastikan pandangan positif terhadap penuaan disokong oleh sistem yang membantu rakyat melalui usia tua dengan sihat, bermaruah dan bermakna,” katanya.
Tinjauan melibatkan kira-kira 23,745 responden dewasa berusia bawah 75 tahun di 32 negara itu mendapati, secara purata, masyarakat menganggap usia tua bermula pada umur 66 tahun. Namun, tafsiran berbeza mengikut negara, antaranya Perancis (72 tahun), Thailand (68), Great Britain (67), Jepun (65), Filipina (60) dan Indonesia (59).
Menurut Pengarah Urusan Ipsos Arun Menon persepsi global terhadap penuaan tidak banyak berubah sejak 2018 walaupun penduduk dunia semakin menua.
“Namun, rakyat Malaysia menyedari peralihan pandangan ini apabila dalam tempoh tujuh tahun lalu, tanggapan terhadap ‘usia tua’ berubah ketara, iaitu kini bermula pada umur 60 tahun, meningkat empat tahun berbanding sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13, memaklumkan kerajaan akan melaksanakan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) 2025–2045 sebagai panduan strategik agar tiada kumpulan, termasuk warga emas, tercicir daripada arus pembangunan, memandangkan Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043.
Inisiatif NAB itu merangkumi pembangunan sistem Penjagaan Jangka Panjang (LTC) yang lebih cekap, mudah diakses dan mampu milik, penggubalan undang-undang khusus untuk menyelaras peraturan penjagaan warga emas, serta penyediaan insentif perlindungan sosial dan faedah kepada penjaga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial