KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bekerjasama dengan pengawal selia negeri untuk memperkenalkan tarif air khusus untuk pusat data dan pengguna industri berat, selain menggalakkan penggunaan air kitar semula dan sistem penyejukan berpusat untuk mengurangkan tekanan pada sumber air bersih.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata walaupun air terletak di bawah bidang kuasa negeri, agensi Persekutuan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pengawal selia bagi perkara berkaitan air, giat menyelaras dengan pengendali utiliti untuk memastikan penggunaan air yang adil dan cekap.
“Sebelum sebarang kenaikan tarif, syarikat utiliti perlu kemuka kepada SPAN. Dari situ, ia akan dinilai berdasarkan tujuan dan justifikasi kenaikan tersebut,” katanya pada sesi bual bicara makan tengah hari bertajuk “Driving the Green Energy Transition” di sini hari ini.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan menggalakkan pengguna industri, termasuk pusat data, untuk beralih kepada penggunaan air kitar semula dan membangunkan sistem penyejukan berpusat yang mampan.
“Kita mahu kerajaan negeri mewujudkan zon khas supaya kita boleh membangunkan sistem penyejukan berpusat bagi semua penggunaan air berskala besar. Melalui cara ini, tidak akan wujud persaingan untuk mendapatkan air bersih bagi kegunaan manusia,” katanya.
Beliau berkata tarif khusus untuk pusat data sedang dirangka dan matlamatnya ialah melindungi pengguna domestik daripada subsidi silang pengguna berskala besar.
Fadillah menegaskan strategi jangka panjang kerajaan ialah mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kemampanan sumber melalui usaha menggalakkan akses saksama kepada air dan menggalakkan industri mengguna pakai teknologi air yang lebih cekap.
“Ini memastikan sistem air kita diuruskan dengan berkesan selain memberi insentif kepada penggunaan yang bertanggungjawab dalam semua sektor,” katanya, sambil menambah langkah itu dibuat berikutan kebimbangan yang meningkat berhubung penggunaan air yang tinggi oleh pusat data dan infrastruktur berteknologi tinggi yang lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial