AM

Dr Wan Azizah Santuni Mangsa Kebakaran PPR Desa Tun Razak

06/08/2025 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini menyantuni tujuh mangsa kebakaran di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras, yang berlaku pada Sabtu lepas.

Dr Wan Azizah yang juga isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cheras serta Baitulmal bagi meringankan beban mangsa.

“Kebanyakan mangsa adalah penyewa, manakala hanya seorang pemilik rumah. Kami sudah merancang cara untuk meringankan beban mereka. Penyewa akan diberikan rumah transit sementara kediaman mereka diperbaiki, sebelum mereka kembali semula ke rumah masing-masing.

“Bagi pemilik rumah, Yayasan Wilayah akan membantu kerana mereka masih mempunyai pinjaman bank dan insurans pula tidak meliputi kerosakan rumah,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Zaid Bin Thabit, Desa Tun Razak.

Dr Wan Azizah turut memaklumkan pada kejadian tersebut, pihak bomba mendapati hos pemadam kebakaran di lokasi kejadian hilang, menyebabkan operasi memadam api mengambil masa lebih lama.

“Kita mahu elakkan sebarang vandalisme atau kerosakan pada peralatan yang digunakan untuk menyelamatkan persekitaran kita,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa Nurhasyimah Mohd Hairizam, 23 berkata dia dan suaminya bersyukur menerima bantuan tersebut bagi membeli perabot baharu selepas rumahnya rosak teruk.

“Rumah hangus sepenuhnya. Katil pun dah tak boleh guna. Saya bersyukur sebab dimaklumkan akan diberikan rumah transit untuk duduk sementara menunggu rumah siap dibaiki,” katanya kepada Bernama. 

Nurhasyimah yang bekerja dalam bidang perkhidmatan pelanggan menganggarkan kerugian kira-kira RM4,000 melibatkan, antaranya barangan elektrik.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, dia dan suaminya sedang tidur sebelum terhidu bau asap dan segera menyelamatkan diri.

Difahamkan, kebakaran pada PPR Desa Tun Razak itu melibatkan kediaman di tingkat 13 hingga 17 bangunan berkenaan, membabitkan tujuh keluarga dengan keseluruhan 25 mangsa.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan