GEORGE TOWN, 5 Ogos (Bernama) -- Hari kedua konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat Negeri Pulau Pinang diteruskan ke tiga daerah lagi, bermula dengan Daerah Barat Daya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Maung pagi ini.
Ketibaan konvoi dan para jemputan pada 8 pagi itu disambut meriah warga sekolah dengan diiringi paluan gendang Cina oleh murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wen Khai serta pelajar yang memakai pakaian tradisional pelbagai bangsa, melambangkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.
Sambutan dimulakan dengan pengisahan kenegaraan penuh emosi dan semangat patriotisme bertajuk ‘Lembaran Kisah Seutas Gelang: Datuk Siti Rahmah Kassim’ oleh Kumpulan Gema Nusantara dari SMK Batu Maung, yang mengangkat kisah pengorbanan tokoh wanita dalam perjuangan kemerdekaan.
Kumpulan Seri Damar terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Damar Laut kemudian mengambil alih lantai acara menerusi persembahan boria sebelum diakhiri dengan nyanyian lagu Jalur Gemilang beramai-ramai sambil mengibarkan bendera Malaysia.
Perasmian dan pelepasan konvoi KMJG 2025 Negeri Pulau Pinang peringkat Daerah Barat Daya disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, dan turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Barat Daya Shamsul Fairuz Mohd Nor.
Pengarah Penerangan Pulau Pinang Hasmiza Hussin berkata pelaksanaan KMJG 2025 berkonsepkan ‘Penyerahan Jalur Gemilang’ dengan membawa Jalur Gemilang ke seluruh negara dan diserahkan di setiap sempadan negeri.
“Kembara ini bermula semalam dan telah melalui dua daerah iaitu Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT). Hari ini kita berada di Daerah Barat Daya untuk hari kedua dan SMK Matu Maung adalah hentian pertama.
“Selepas ini, konvoi akan bergerak ke Daerah Timur Laut, seterusnya ke Seberang Perai Utara (SPU) sebelum menyerahkan konvoi kepada Kedah pula untuk meneruskan jelajah di negeri Jelapang Padi bersempena sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya di sini hari ini.
Shamsul Fairuz ketika berucap menyifatkan KMJG 2025 bukan sekadar acara tahunan tetapi satu wahana untuk menyemai rasa kecintaan terhadap negara di samping mengingatkan semua lapisan masyarakat tentang pentingnya memelihara perpaduan, keamanan dan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh tokoh terdahulu.
Beliau berkata tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ amat bertepatan dengan aspirasi pendidikan yang menekankan pembangunan sahsiah dan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar.
“Justeru, warga pendidikan di Daerah Barat Daya berperanan penting mendidik generasi pewaris negara agar berjiwa patriotik, berintegriti dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.
“Di samping itu, penyertaan murid dan guru dalam pelbagai program seperti perarakan, pertandingan dan kibaran Jalur Gemilang antara inisiatif memperkasakan jati diri kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad pula berkata program berkenaan antara contoh terbaik bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat serta memupuk budaya perpaduan yang mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum, khususnya di Pulau Pinang.
Beliau berkata acara tahunan itu turut menjadi wadah untuk kita mengenang jasa para pemimpin terdahulu yang telah memperjuangkan tanah air sehingga Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
“Kini adalah masanya untuk kita bersama-sama membangunkan Malaysia dan negeri ini dengan mewujudkan semangat perpaduan yang harmoni dalam kalangan rakyat, khususnya di Pulau Pinang. Ini amat penting untuk kemajuan negara,” katanya.
KMJG 2025 peringkat Negeri Pulau Pinang disertai 40 kenderaan daripada pelbagai agensi melibatkan penyertaan 100 orang diketuai Jabatan Penerangan Pulau Pinang.
Agensi terlibat termasuklah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Telekomunikasi Komuniti, Pos Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta kumpulan bermotosikal dari Kelab Permotoran Northern V-Storm Owner.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial