AM

MUFG, Affin Taja Kos Operasi Interceptor 002 Perkasa Usaha Pembersihan Sungai Klang

04/08/2025 04:16 PM

SHAH ALAM, 4 Ogos (Bernama) -- MUFG Bank (Malaysia) Berhad (MUFG) dan Affin Bank Berhad (Affin) akan menaja kos operasi Interceptor 002 dalam memastikan kelancaran usaha pembersihan Sungai Klang. 

Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor Datuk Izham Hashim berkata Affin akan menaja RM1.5 juta untuk tiga tahun manakala MUFG sebanyak RM250,000 secara sekali beri. 

Beliau berkata setakat ini projek pembersihan sungai sepanjang kira-kira 56 kilometer di bawah inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG) itu telah berjaya mengutip hampir 500,000 tan metrik sampah dan lumpur bagi memastikan pemulihan sungai itu dapat dicapai dalam masa lima tahun. 

“Perancangan ini (pemulihan Sungai Klang) adalah perancangan lima tahun. Kita telah buat korekan sampah dan lumpur sebab kedalaman Sungai Klang ini sekitar empat meter dan kita dapati purata tiga meter dipenuhi sampah serta lumpur. 

“Selaras dengan usaha pengorekan dan pembersihan ini, kita dah dapat semula empat meter itu tetapi kita kena kukuhkan pula tebing sebab ia akan tumbang, jadi kita akan buat ini secara bersekali,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kerjasama Strategik antara Affin, MUFG dan SMG di sini hari ini.  

Izham turut menyambut baik tajaan kos operasi berkenaan yang sebelum ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri. 

“Jadi dengan tajaan ini dana yang digunakan untuk kos operasi interceptor 002 kita boleh salurkan kepada perkara lain, banyak lagi yang kita boleh buat,” katanya. 

Hadir merasmikan majlis hari ini Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang turut berkenan menandatangani plak sebagai simbolik kerjasama yang terjalin.

Tengku Permaisuri turut berkenan melawat ke Interceptor 002 bagi melihat sendiri pengoperasian kapal automatik bertenaga solar itu yang berfungsi untuk memerangkap dan mengutip sampah terapung di Sungai Klang sebelum ia mengalir ke laut.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali serta Duta Besar Jepun Ke Malaysia Shikata Noriyuki. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan