KOTA KINABALU, 4 Ogos (Bernama) -- Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) telah membawa satu revolusi dalam pengurusan tanaman padi di Kota Belud dengan pengenalan teknologi terkini seperti penggunaan dron dan jentera pembajak moden dalam kalangan pesawah.
Sejak dilancarkan pada 2023, program berimpak tinggi itu bukan sahaja berjaya memodenkan sektor penanaman padi, malah melahirkan generasi pesawah yang lebih produktif, efisien, profesional dan berdaya saing dalam meningkatkan pengeluaran hasil.
Kampung Jawi-Jawi merupakan antara perintis program Smart SBB di Kota Belud, dengan kawasan jelapang padi utama Sabah yang terletak kira-kira 73 kilometer dari sini itu, menyaksikan penyertaan 19 pesawah mengusahakan tanaman seluas 49 hektar.
Berkongsi pengalaman kepada Bernama, Pengurus Bendang Ladang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di kampung itu, Adlin Mohammad berkata program tersebut membawa perubahan ketara kepada pesawah kerana mereka tidak perlu lagi menjalankan penanaman padi secara tradisional seperti sebelum ini.
Adlin, 51, yang juga generasi ketiga pesawah di Kampung Jawi-Jawi dan mula berkecimpung dalam bidang pertanian sejak 18 tahun lepas, berkata teknologi baharu itu bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga tetapi juga meningkatkan kecekapan pengurusan kerja di bendang.
“Dulu kami membajak secara tradisional menggunakan kerbau tapi sekarang menggunakan pelbagai jenis jentera moden mengikut kesesuaian kawasan dan keadaan tanah,” katanya ketika ditemui Bernama di reruai BERNAS pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah sejak Jumaat lepas dan berakhir semalam.
Adlin berkata walaupun pada awalnya program itu kurang mendapat keyakinan, kini ia sambutan daripada pesawah sangat positif lebih-lebih melihat kepada komitmen mereka menggabungkan kaedah tradisional dengan pendekatan moden dalam penanaman padi.
"Sistem penaburan benih padi menggunakan dron bukan sahaja lebih pantas tetapi lebih sekata berbanding kaedah tradisional. Petani juga tidak perlu lagi ke bendang setiap hari, cukup hanya memantau kawasan,” katanya yang memainkan peranan penting dalam menyelia operasi Smart SBB di kampungnya.
Selain pengurusan pengairan yang lebih sistematik, beliau berkata program itu turut menitikberatkan kawalan penyakit tanaman dan serangga perosak dengan setiap pesawah dibimbing untuk melakukan pemantauan secara berkala bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Pendekatan itu, kata Adlin mampu meningkatkan disiplin kerja dalam pengurusan tanaman padi kerana serangan penyakit dan serangga perosak adalah antara cabaran sering dihadapi golongan pesawah selain perubahan cuaca seperti kemarau.
Beliau berkata pengeluaran hasil padi turut menunjukkan peningkatan sepanjang empat musim program itu dilaksanakan, dengan musim pertama melebihi sasaran ditetapkan iaitu 4.11 tan metrik per hektar seterusnya meningkat kepada 4.59 tan metrik per hektar pada musim keempat tahun ini.
“Setiap peningkatan hasil padi bermakna pendapatan kami turut bertambah. Kami berharap akan dapat meneruskan momentum ini,” katanya sambil berharap agensi berkaitan dapat memberi subsidi diesel dan bantuan logistik terutama melibatkan pengoperasian jentera menuai di luar kawasan seliaan BERNAS.
Beliau juga mencadangkan pengenalan varieti benih padi yang baharu memandangkan benih TR8 sekarang telah digunakan hampir 10 tahun kerana kesesuaiannya dengan keadaan tanah dan cuaca, tetapi varieti baharu diperlukan untuk memastikan hasil lebih baik pada masa depan.
Adlin turut menekankan pentingnya sokongan kerajaan kepada BERNAS dengan menerima seterusnya meluluskan usul atau cadangan berkaitan bagi memperluas lagi inisiatif Smart SBB dan dalam masa sama, memperkukuh prasarana demi meningkatkan pengeluaran hasil padi.
Program Smart SBB merupakan inisiatif strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran padi, memperkukuh pendapatan pesawah, dan menjamin ketahanan makanan negara melalui pendekatan teknologi moden dan pengurusan bersepadu.
Selain BERNAS, program di Kota Belud ini dilaksanakan dengan kerjasama agensi teknikal seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kota Belud, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran, serta Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Belud.
Selepas kejayaan di Kampung Jawi-Jawi, program itu berkembang meliputi kawasan seluas 174.97 hektar pada musim kedua 2023 dengan penyertaan 121 pesawah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial