AM

HPPNK 2025: e-Sukan Anjuran NAFAS Jadi Tumpuan Ribuan Anak Muda Sabah

03/08/2025 08:46 PM

KOTA KINABALU, 3 Ogos (Bernama) -- Reruai Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menjadi tumpuan utama golongan muda pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk e-sukan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin berkata lebih 3,000 pengunjung muda telah menghadiri Pavilion Agro Millenia NAFAS sejak pembukaan pada Jumaat lepas, dengan sasaran 5,000 pengunjung pada hari terakhir, hari ini. 

"Hari terakhir ini berkemungkinan kita boleh cecah sasaran 5,000 pengunjung anak muda kerana ada cabutan bertuah ketika majlis penutup dan banyak hadiah menarik kita sediakan seperti motosikal, skuter elektrik, wafer syiling emas, jam tangan dan sebagainya.

"NAFAS dipertanggungjawabkan untuk menarik orang ramai terutamanya anak muda ke HPPNK 2025, jadi kita buat Pavilion Agro Millenia dengan kita adakan perlawanan Mobile Legends, realiti maya (VR), kahoot dan PlayStation 5 selain mendedahkan mereka kepada aktiviti dan industri pertanian," katanya.

Beliau berkata kepada Bernama selepas melakukan jualan “Happy Hour” yang menawarkan hadiah patung capybara ekslusif bagi pelanggan yang membeli dua minuman di reruai NAFAS di aras 2, Kinabatangan Hall, SICC hari ini.

Muhammad Faris berkata NAFAS menumpukan acara pameran dan aktiviti untuk menarik orang ramai bagi memberi pendedahan mengenai kegiatan pertumbuhan peladang kebangsaan.

Beliau berkata melihat sambutan menggalakkan bagi aktiviti e-Sukan Mobile Legends pada HPPNK 2023 di Ipoh, Perak, NAFAS melakukan penambahan permainan lain seperti VR dan arked pada edisi di Sabah ini yang ternyata mendapat sambutan menggalakkan. 

Dalam pada itu, beliau berkata NAFAS turut mencatatkan jualan produk sebanyak RM50,000 dalam dua hari pertama HPPNK 2025 dan menyasarkan jumlah RM75,000 pada hari terakhir penganjuran hari ini.

Muhammad Faris berkata pihaknya mengetengahkan produk seperti input pertanian baja, produk sejuk beku dan jenama peladang di reruai sepanjang tiga hari penganjuran HPPNK.

"Kita hendak memperkenalkan produk kepada usahawan tani di HPPNK termasuk baja yang baru diperkenalkan semalam kita ada letakkan di reruai untuk mereka lihat sendiri.

"Petani yang datang boleh lihat sendiri Baja Super Peladang dalam pembungkusan baharu berserta jaminan kualiti dengan pengiktirafan SIRIM dan sebagainya. Kita menjanjikan baja mengikut spesifikasi dan sangat berkualiti tinggi," katanya.

Sebagai penaja utama HPPNK edisi ke-50 ini, NAFAS komited untuk memperkukuh pembangunan sektor agromakanan negara khususnya di Sabah melalui pendekatan holistik yang merangkumi generasi muda dan jaringan strategik.

Penglibatan kali ini menampilkan pendekatan menyeluruh yang merangkumi elemen generasi muda, pembangunan industri serta pengukuhan jaringan kerjasama strategik. 

Majlis perasmian penutup HPPNK 2025 dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan