AM

Pembinaan Projek LSS Q-Solar Di Tawau Kukuh Grid Elektrik Sabah

02/08/2025 05:39 PM

TAWAU, 2 Ogos (Bernama) -- Projek Solar Berskala Besar (LSS) Q-Solar Tawau yang dibangunkan di atas tanah seluas 18.21 hektar di Jalan Timur di sini dijangka memperkukuh sistem grid elektrik Sabah serta membantu menangani masalah bekalan elektrik, khususnya di kawasan Pantai Timur negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata ladang solar berkenaan dijangka menjana sehingga 15 megawatt (MW) tenaga bersih, sekali gus menstabilkan sistem grid negeri yang kini masih bergantung kepada sumber tenaga berasaskan diesel dan gas asli.

“Projek ini bukan sahaja menyelesaikan isu bekalan elektrik di Pantai Timur, malah turut membentuk masa depan tenaga yang lebih bersih, stabil dan berdaya tahan menjelang 2026.

“Ia juga akan membantu mengimbangi pengagihan tenaga antara Pantai Barat dan Pantai Timur negeri,” katanya pada majlis pecah tanah projek berkenaan di Jalan Timur di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurut Hajiji, pelaksanaan projek itu sejajar dengan pelan induk tenaga negeri, Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SERAMP), yang menjadi kerangka hala tuju transformasi jangka panjang sektor tenaga Sabah.

Beliau berkata projek berkenaan turut memberi pelbagai limpahan manfaat ekonomi kepada komuniti setempat, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan sepanjang fasa pembinaan dan operasi ladang solar tersebut.

“Anak-anak muda tempatan juga akan diberi latihan khusus untuk mengurus dan menyelenggara sistem solar ini, membuktikan bahawa projek ini bukan bersifat sementara tetapi berupaya membina kapasiti tempatan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau turut berharap agar projek bernilai RM60 juta itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan serta memberikan impak positif kepada rakyat dan pembangunan negeri secara keseluruhan.

Projek ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Qhazanah Energy Sdn Bhd (QESB), dan QSolar Tawau Sdn Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan