AM

RMK13: KKR Optimum Penggunaan Teknologi Laksana Projek Infrastruktur

02/08/2025 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengoptimumkan penggunaan teknologi terkini dalam pelaksanaan projek infrastruktur strategik merangkumi jaringan jalan raya, lebuh raya, jambatan, bangunan serta kemudahan asas awam yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Dalam kenyataan hari ini KKR memaklumkan pelan pembangunan lima tahun itu bukan sekadar projek fizikal tetapi akan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan pemangkin masa hadapan yang lebih adil serta makmur untuk semua.

"KKR komited dalam menjayakan aspirasi Kerajaan MADANI demi rakyat dan negara dan akan terus konsisten dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan bagi menjadikan infrastruktur negara lebih berkualiti, mampan, selamat dan selesa untuk rakyat, di bandar mahupun luar bandar," menurut kenyataan itu.

Sebagai peneraju dalam sektor pembinaan negara, KKR akan terus memperkasa penggunaan teknologi moden dalam projek pembinaan seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk pengurusan projek yang lebih cekap, berkualiti, mengikut jadual serta mengurangkan kos dan kebergantungan kepada pekerja asing.

Menurut kementerian itu, inisiatif pendigitalan akan diadaptasi melalui Program MyJalan, Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP), Pusat Informasi dan Data Analitik Sektor Pembinaan Nasional (NCIP) dan Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS) bagi memperkukuh perancangan, pembinaan dan penyenggaraan infrastruktur negara.

Menurut KKR, langkah itu bagi memastikan infrastruktur yang lebih berkualiti, mampan, responsif dan menjimatkan kos dengan mengurangkan lanjutan masa (EOT) yang akan menjejaskan perbelanjaan negara dan melambatkan manfaatnya sampai kepada rakyat. 

RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas menggariskan beberapa projek infrastruktur strategik bagi meningkatkan kesalinghubungan antarabangsa dan dalam negara.

Antaranya, penaiktarafan jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok yang menghubungkan Malaysia dan Thailand serta jalan Kalabakan-Simanggaris yang menjadi laluan penghubung antara Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan, menyiapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak dalam tempoh RMK13 serta meneruskan pembinaan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo.

Perdana Menteri turut mengumumkan penaiktarafan lebuh raya utama dan 2,800 kilometer jalan luar bandar menjelang 2030.

"RMK13 bukan sahaja membina jalan, jambatan dan bangunan. Ia sebenarnya membina harapan dan keyakinan rakyat terhadap masa depan negara," menurut KKR.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan