AM

Sekolah Angkat MADANI Perkasa Pelajar Luar Bandar

21/06/2025 06:15 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamat & Nurfardlina Izzati Moktar

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Penglibatan syarikat korporat dalam Program Sekolah Angkat MADANI berpotensi meningkatkan daya saing pelajar di sekolah daif dan luar bandar, selain memberi akses yang lebih baik kepada pendidikan berkualiti serta peluang yang lebih setara.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad berkata langkah itu juga diyakini mampu membantu merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus memperkukuh sistem pendidikan negara.

“Kita sedar bantuan kewangan amat penting, khususnya bagi sekolah di kawasan luar bandar yang berdepan kekurangan kemudahan asas dan bahan pembelajaran seperti peranti terkini. Jadi, dengan adanya sumber kewangan tambahan, sekolah mampu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

“Pihak industri juga boleh menyumbang menerusi pendedahan awal kerjaya. Mereka boleh hadir ke sekolah untuk memberi taklimat supaya murid dapat memahami lebih awal tentang peluang pekerjaan, kursus atau laluan pendidikan serta kemahiran yang diperlukan dalam industri sebenar,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Anuar berkata penglibatan sektor korporat bukan sahaja membantu memperkukuh sumber dan kemudahan sekolah, malah dapat merangsang motivasi, aspirasi serta daya saing murid.

“Pihak sekolah juga perlu terbuka menerima kerjasama serta idea daripada pihak industri. Jangan hanya menerima dana semata-mata, sebaliknya manfaatkan kepakaran mereka dalam aspek teknologi, pendedahan kerjaya dan pembangunan sahsiah murid,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Fouzi Singon menyambut baik usaha itu dan berharap sokongan syarikat korporat dapat diperluas bagi memperkukuh latihan guru, terutama di kawasan luar bandar.

Beliau berkata guru yang terlatih dan mendapat sokongan profesional mampu membawa perubahan besar dalam bilik darjah, sekali gus melonjakkan prestasi murid serta menjayakan matlamat program.

“Kerajaan perlu memantau pelaksanaan inisiatif ini dengan teliti dan memastikan semua pihak benar-benar komited serta ikhlas agar impaknya dapat dirasai oleh murid dan warga pendidik secara menyeluruh,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa sebanyak 1,000 sekolah telah terpilih dalam program tersebut yang dilaksanakan dengan kerjasama 117 syarikat swasta.

Program berkenaan yang bermula sejak April lalu diselaraskan bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan. Fasa pertamanya dijangka berakhir pada 31 Disember ini sebelum diperluaskan mengikut hasil pelaksanaan awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam majlis pelancaran program berkenaan turut menyeru tokoh korporat agar turun padang menyantuni pelajar dan memberi pendedahan kepada mereka tentang kepentingan ilmu sebagai bekalan masa depan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan