AM

Kembara Riuh Di Kelantan Buka Pasaran Lebih Luas Kepada Usahawan PMKS

21/06/2025 06:12 PM

KOTA BHARU, 21 Jun (Bernama) -- Program Kembara RIUH Pesta Itu Ini yang menutup tirai hari ini membuka peluang besar kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran lebih luas.

Program anjuran Kementerian Komunikasi yang berlangsung tiga hari di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, mendapat sambutan hangat daripada pemain industri kreatif dan tekstil tempatan termasuk usahawan muda dari seluruh negara yang melihat acara itu sebagai platform penting untuk memperluas jaringan dan meningkatkan capaian jenama mereka.

Antara peserta yang menyambut baik peluang itu ialah Amirah Sarah Mohd Fahmi, usahawan dari Kuala Lumpur yang mengusahakan jenama fesyen Miera Fahmi. 

Beliau yang memasarkan pelbagai rekaan pakaian seperti kurta, kaftan, selendang dan blaus yang diperbuat daripada kain bercorak batik dan abstrak berharap jenamanya dapat dikomersialkan dengan lebih meluas.

“Saya datang dari Kuala Lumpur dan menumpang tinggal bersama rakan di Tanah Merah semata-mata untuk menyertai program ini. Ini kali pertama saya ke Kelantan dan sambutan pengunjung amat menggalakkan,” katanya kepada Bernama.

Amirah Sarah sebelum ini pernah menyertai program jualan di Singapura dan Kuala Lumpur namun ini merupakan penyertaannya yang pertama di Pantai Timur.

“Saya akan terus sertai program seperti ini untuk memasarkan rekaan saya tetapi akan lebih teliti dari segi penganjur dan lokasi. Program sebegini perlu diteruskan kerana ia memberi peluang besar kepada usahawan kecil seperti saya,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Aimi Syafiq Rohaimi, pengusaha tekstil dari Terengganu turut melihat program tersebut sebagai peluang penting untuk menembusi pasaran baharu.

“Program seperti ini sangat bermakna untuk kami kerana dapat memperkenalkan hasil kerja tangan kepada lebih ramai orang,” katanya yang menjual pakaian bercorak batik pulas, satu teknik unik yang kurang dikenali.

“Batik pulas dihasilkan dengan mengikat kain di beberapa bahagian sebelum dicelup ke dalam pewarna. Coraknya hanya akan terserlah selepas ikatan dibuka dan setiap rekaan adalah eksklusif,” katanya.

Muhammad Aimi Syafiq sebelum ini pernah menyertai program sama di Ketereh pada 2022 dan meraih sambutan menggalakkan. 

“Saya percaya jika program ini diadakan dalam tempoh lebih lama, lebih ramai pengunjung boleh hadir. Ramai yang tidak sempat datang kerana kesibukan kerja dan faktor jarak,” katanya.

Beliau melihat Kembara RIUH bukan sekadar pesta hiburan sebaliknya sebagai platform strategik untuk membantu golongan PMKS mempromosikan produk, menembusi pasaran baharu dan membina rangkaian perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan