AM

Ikan Lumba-lumba Irrawaddy Ditemukan Mati Tersangkut Pukat Pari Haram

21/06/2025 03:18 PM

ALOR SETAR, 21 Jun (Bernama) -- Seekor ikan lumba-lumba Irrawaddy daripada spesies marin terancam ditemukan mati akibat tersangkut pukat pari haram ditinggalkan di perairan Kuala Kedah, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata ikan itu ditemukan pada 11 pagi, kira-kira 1.1 batu nautika dari muara Kuala Kedah oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika menjalankan rondaan rutin.

“Penemuan itu susulan rampasan sebidang pukat pari dianggarkan bernilai RM2,000 yang diwartakan sebagai haram di bawah Akta Perikanan 1985 kerana sifatnya tidak selektif, bukan sahaja memerangkap pari dan anak ikan tetapi juga mengancam spesies marin dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Noor Azreyanti berkata ikan lumba-lumba Irrawaddy (Orcaella brevirostris) atau turut dikenali empesut merupakan spesies unik yang semakin pupus di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Sehubungan itu, kematian seekor ikan lumba-lumba Irrawaddy memberi impak besar kepada ekosistem kerana jumlah populasi semasa spesies berkenaan amat kecil dan sukar dikesan.

Dalam pada itu, Noor Azreyanti berkata rampasan terbaru itu menjadikan enam siri rampasan pukat pari berjaya dilaksanakan Zon Maritim Kuala Kedah setakat ini.

“Penggunaan pukat pari bukan sahaja menjejaskan populasi ikan pari yang merupakan pemangsa dasar laut tetapi turut mengganggu keseimbangan keseluruhan ekosistem, jika berterusan tanpa kawalan,” katanya. 

Noor Azreyanti meminta orang ramai melaporkan aktiviti penangkapan haram atau mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah 04-7310579.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan