AM

Pengerusi Bernama Diumum Tokoh Wartawan Negara 2024

20/06/2025 09:38 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, telah diumumkan sebagai Tokoh Wartawan Negara pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2024, malam ini.

Anugerah tersebut disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Wong, 64, yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam dunia kewartawanan, memulakan kerjayanya sebagai wartawan kadet di akhbar The Star, Pulau Pinang pada 1984. Beliau kemudiannya memegang pelbagai jawatan di ibu pejabat Star Media Group di Petaling Jaya.

Beliau merupakan wartawan ke-14 yang dipilih menerima anugerah berprestij tersebut.

Antara penerima terawal anugerah itu ialah tokoh-tokoh besar kewartawanan seperti Tan Sri Abdul Samad Ismail dari Utusan Melayu (1988) diikuti Tan Sri Lee Siew Yee (1992) dari New Straits Times dan Datuk Ishak Muhammad atau Pak Sako (1995).

Penerima lain termasuk Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Kadir Jasin, Khalidah Adibah Amin, Allahyarham Datuk Ahmad Rejal Arbee, Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk CC Liew.

Selain aktif sebagai wartawan, Wong juga telah memegang beberapa jawatan dalam bidang korporat.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif di Star Media Group.

Wong dilantik sebagai Pengerusi Bernama pada 2023. Beliau pernah berkhidmat sebagai anggota Lembaga Pengelola Bernama dari 2004 hingga 2010, serta Majlis Penyeliaan dari 2010 hingga 2014.

Wong terus menghasilkan analisis berita kepada Bernama secara berkala.

Selain itu beliau juga masih menulis di The Sunday Star dalam kolum mingguan On The Beat sejak 1997, walaupun tidak lagi berkhidmat dengan Star Media Group.

Sepanjang kariernya, beliau telah menghasilkan beberapa laporan eksklusif termasuk wawancara bersama mendiang ahli fizik terkenal dunia Stephen Hawking, bekas Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton dan ramai lagi.

Pada tahun 2003, Wong memenangi Anugerah Wartawan Terbaik MPI dalam kategori penulisan rencana bagi artikel berbentuk penyiasatan mengenai rakyat Malaysia yang menjalani latihan pengganas di Afghanistan.

Antara pencapaian lain beliau termasuk merupakan rakyat Malaysia pertama dipilih menyertai World Editors Forum yang berpusat di Paris, serta pernah menjadi Pengerusi Asia News Network yang dianggotai lebih 21 agensi media dari bandar Asia.

Wong ketika ditemui berkata beliau berasa “kerdil dan rendah diri” kerana disenaraikan bersama tokoh-tokoh ternama kewartawanan.

“Ini merupakan satu penghormatan besar dan sudah pasti kemuncak dalam perjalanan kewartawanan saya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan wartawan agar tidak hanya menulis berita, tetapi turut mempelbagaikan penulisan dengan menghasilkan analisis dan komentar.

Wong juga merupakan penulis buku Penang’s History, My Story yang diterbitkan oleh The Star pada 2014 dan telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Universiti Sains Malaysia.

Lulusan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di universiti itu.

“Nasihat saya kepada rakan-rakan wartawan, jangan sesekali berhenti menulis,” katanya.

Beliau turut memberi penghargaan kepada rakan-rakan veteran seperti Johan, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Yong Soo Heong, Kadir dan Datuk Kuik Cheng Kang yang masih aktif menulis sama ada secara tetap atau berkala.

“Wartawan lama tidak seharusnya hilang begitu sahaja, sebaliknya teruskan menulis,” katanya.

Beliau juga aktif di platform digital seperti Instagram, X (Twitter), dan YouTube untuk menyuarakan pandangannya.

Wong berkata beliau menyokong dengan tegas penglibatan wartawan yang dilatih dengan baik.

“Kami telah melalui pengalaman bertahun-tahun, memahami batasan undang-undang dan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia dengan lebih baik.

“Lebih penting, media arus perdana adalah tepat dan kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap penerbitan,” katanya.

Selain itu beliau mendedikasikan anugerah ini kepada semua wartawan, khususnya wartawan veteran dan senior dalam industri ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan