GEORGE TOWN, 15 Jun (Bernama) -- Inisiatif khidmat komuniti oleh penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) menonjolkan kepentingan memperkasakan komuniti setempat, selain memupuk semangat keakraban dan kemahiran hidup praktikal dalam kalangan penghuni Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang (PTGPP).
Dalam kenyataan hari ini, universiti itu memaklumkan seramai 71 penuntut tahun kedua Pusat Pengajian Komunikasi terlibat dalam inisiatif mendekati komuniti Comm@Love In Transit (Comm@L.I.T.) yang diadakan dengan kerjasama PTGPP dan sokongan Service-Learning Malaysia-University for Society Universiti Sains Malaysia (SULAM-USM).
Program itu diadakan semalam, dengan matlamat menaikkan semangat penghuni PTGPP menerusi beberapa siri aktiviti interaktif dan menarik, seperti explore race, gotong-royong, ceramah kesedaran kesihatan mulut dan sambutan komuniti.
“Setiap aktiviti direka untuk mempromosikan kelestarian, meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi serta memupuk rasa kekitaan dan bermasyarakat.
“Aktiviti ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya kesihatan yang baik dan kesejahteraan (SDG3), bandar dan komuniti mampan (SDG11) serta penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab (SDG12),” menurut kenyataan itu.
Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim yang berkata program itu dapat mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat serta menggalakkan kerjasama antara institusi.
“Keyakinan serta motivasi penghuni semakin meningkat untuk kembali semula dalam masyarakat. ini merupakan pencapaian yang baik dan membuktikan usaha bersepadu antara institusi dan komuniti boleh membawa perubahan yang bermakna,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial