AM

PM Anwar Terima Ucapan Aidiladha Daripada Presiden Iran, Tegaskan Sokongan Terhadap Palestin

05/06/2025 11:06 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Dalam semangat Aidiladha yang mengangkat nilai pengorbanan dan keadilan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian atas ketegasan mempertahankan nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

Anwar menerusi panggilan telefon bersama Presiden Masoud sebentar tadi menyatakan Malaysia berdiri teguh bersama Iran dalam menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penjajahan dan pengusiran warga Gaza yang terus-menerus dizalimi rejim Zionis Israel.

“Saya turut menyatakan bahawa dasar luar negara Malaysia tidak ditentukan oleh kuasa-kuasa luar, sebaliknya terbina atas dasar kepentingan nasional dan keyakinan yang teguh.

“Malaysia mengecam kemunafikan negara-negara tertentu yang mendabik dada kononnya menjunjung hak asasi, namun secara diam membenarkan pembunuhan beramai-ramai tanpa sebarang tindakan yang bermaruah. Bungkam kepada kezaliman adalah satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Anwar berkata Presiden Masoud turut menyampaikan ucapan sempena Aidiladha yang disambut Sabtu ini.

Beliau turut mendoakan agar para jemaah haji dari kedua-dua negara yang sedang berada di Tanah Suci dikurniakan haji mabrur dan dapat menyumbang kepada pembangunan ummah apabila kembali ke tanah air masing-masing.

Perdana Menteri juga merakamkan penghargaan kepada Presiden Masoud atas usaha murninya dalam memudahkan urusan pemulangan dua warganegara Malaysia yang sebelum ini ditahan di Iran.

Anwar berkata dalam perbualan itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden Masoud berikutan lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ke Tehran baru-baru ini sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh kerjasama dua hala.

Anwar berkata kerjasama itu merangkumi bidang pendidikan, teknologi, keterjaminan makanan, perdagangan, pelaburan serta sektor minyak dan gas.

“Dalam perbincangan yang sama, Malaysia menyambut baik keputusan untuk menyambung semula operasi penerbangan Mahan Air dari Tehran ke Kuala Lumpur, yang tentunya akan membuka lebih banyak peluang dan ruang bagi hubungan ekonomi dan hubungan antara rakyat,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan Anwar memaklumkan beliau turut menerima panggilan telefon daripada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan petang tadi, yang antara lain turut membicarakan tentang penderitaan rakyat Palestin.

“Kami sepakat bahawa saat dunia masih memilih untuk membisu dan bersikap selektif terhadap penderitaan rakyat Gaza. Kita tidak boleh berpeluk tubuh, Malaysia tentunya menyambut baik dan mendukung penuh pendirian Presiden Erdogan untuk menggunakan segala wahana dan keupayaan yang ada bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata mereka juga membincangkan tentang kunjungan rasmi Erdogan ke Malaysia baru-baru ini yang disifatkan paling berjaya dan bermakna dalam sejarah diplomatik negara, sekali gus memperkukuh lagi asas hubungan dua hala yang telah lama terjalin.

Beliau berkata lawatan itu bukan sekadar pertukaran protokol tetapi turut disulami dengan rundingan yang substantif yang menyentuh kepentingan bersama.

“Saya melihat kunjungan itu sebagai manifestasi keserasian nilai dan hala tuju yang jitu kedua-dua negara dalam menjunjung keadilan, kedaulatan dan pembangunan umat sejagat,” katanya.

Beliau berkata Malaysia beriltizam untuk terus bekerjasama rapat dengan Turkiye, terutamanya dalam membentuk satu kesatuan strategik yang mampu membawa suara umat ke tengah pentas dunia.

“Dalam semangat Aidiladha, pengorbanan, keteguhan dan keyakinan terhadap seruan Ilahi, Malaysia akan terus berdiri bersama Turkiye dalam memungkinkan sebuah dunia yang lebih aman, adil dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan,” katanya, yang turut menerima ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha daripada Erdogan.

--  BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan